Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Koo/Tan juara beregu lelaki GP emas terbuka Belanda
Diterbitkan:  Oct 12, 2015 8:21 AM
Dikemaskini: 12:23 AM

Gandingan veteran negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong membuktikan mereka masih berbisa apabila menjuarai acara beregu lelaki kejohanan badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Belanda di Topsportcentrum Almere Arena, Belanda, semalam.

Tampil sebagai pilihan ketujuh, Koo/Tan jelas bukan tandingan buat pasangan India, Manu Attri/B. Summeth Reddy yang juga pilihan kedua apabila menang mudah 21-15, 21-10 dalam masa hanya 25 minit.

Kemenangan di kejohanan Tahap Tiga acara Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu membolehkan Koo/Tan menerima hadiah AS$3,950 (RM16,195) manakala Manu/Summeth mendapat AS$1,900 (RM7,790).

Ini adalah gelaran ketiga untuk Koo/Tan yang masing-masing berusia 30 dan 28 tahun selepas kembali beraksi di pentas antarabangsa pada Mei lalu.

Sebelum ini, mereka memenangi dua kejuaraan iaitu Cabaran Antarabangsa Sri Lanka pada Jun dan Cabaran Antarabangsa Rusia pada Julai, yang masing-masing merupakan kejohanan Tahap Empat BWF.

Koo/Tan mara ke final selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei/Yang Lee 21-19, 19-21, 21-16 di peringkat separuh akhir kelmarin.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 dan naib juara dunia 2010 itu berjaya mengetepikan cabaran beregu Taiwan berkenaan dalam masa 54 minit.

- Bernama

Lihat Komen
ADS