Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Ali bimbang jika Umno terlucut kuasa
Diterbitkan:  Oct 12, 2015 5:22 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Ketua Umno Cheras Syed Ali Alhabshee hari ini menyuarakan kebimbanganya jika Umno dan BN berada dalam keadaan getir dalam pilihan raya sehingga boleh terlucut kuasanya mentadbir negara ini.

Menulis dalam blognya hari ini, beliau menyeru kepimpinan tertinggi Umno kembali ke meja rudingan mencari jalan untuk menguatkan parti sekaligus mengetepikan kebencian dan kepentingan peribadi.

"Kita tidak mahu Umno terlucut kuasa kerana kesannya amat pahit kepada rakyat, orang Melayu dan negara ini.

"Kita selalu kata, berkhidmat untuk kepentingan rakyat. Jadi demi kepentingan itu, semua pihak sewajarnya duduk semeja mencari formula baru untuk menguatkan parti," katanya.

Pada masa yang sama, Syed Ali mengakui Umno berdepan krisis keyakinan akibat pelbagai tekanan isu semasa dan pergeseran dalaman dikhuatiri akan mengurang sokongan Melayu.

"Kita akui Umno berada dalam situasi sukar, berdepan pelbagai tekanan dan ancaman, oleh sebab itu pemimpin yang memegang amanah perlu bertanggungjawab dan jujur mencari jalan penyelasaian," katanya.

Bekas senator itu juga berkata Umno perlu menyelesaikan permusuhan dalaman bagi memastikan parti itu kekal relevan sebagai institusi atau payung kepada orang Melayu.

"Kita berbangga dengan kekuatan Umno, ya, parti itu kuat dan relevan untuk orang Melayu, tetapi sampai bila? soal setiausaha Umno Wilayah Persekutuan itu.

Dalam blognya juga, Syed Ali berkata Umno harus berusaha mengembali kekuatan dan reputasinya supaya kekal dihormati oleh parti komponen BN walaupun beliau mengakui ada pemimpin tidak lagi menghormati Umno.

Sambil mengingatkan kepimpinan Umno agar berubah sejajar dengan perkembangan politik dan teknologi, Syed Ali berkata pemimpin Umno perlu berdepan tugas sukar mendepani cabaran mempertahankan kekuatan dan kredilibiti Umno.

Menurutnya, suasana politik semasa yang berlaku termasuk kehadiran generasi muda yang lebih "kritis dan radikal" menunjukkan Umno tidak boleh berada dalam zon selesa.

"Kita tidak boleh lagi bercakap seperti 10 atau 20 puluh tahun lalu, kini cabaran dan saingan Umno amat getir dan mencabar.

"Pemimpin atasan kena beritahu rakyat, perjelaskan sebarang kekeliruan berhubung beberapa isu yang mencetuskan kesangsian rakyat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin Umno wajar kembali duduk semeja merumuskan jalan penyelesaian serta memulihkan keyakinan rakyat termasuk turun padang menjelaskan isu yang berbangkit secara terbuka.

Lihat Komen
ADS