Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Cahaya matahari terik memancar tepat mengenai wajahku. Aku bergegas untuk bersalaman dengan Mak dan Ayah. Walaupun semalam semacam ada konflik, tapi aku tetap menghormati dan mahu mereka merestui perjalananku.

“Sid Vicious pun sayang mak dia,” kataku dalam hati. Aku menghulur kedua-dua tanganku. Aku memohon maaf dan berjanji untuk mencari kerja sebaik pulang dari Indonesia.

Kata-kataku hanya dibalas dengan kebisuan. Terasa seperti konflik dalam drama Melayu pula. Aku salam dan cium tangan mak. Dia mencium pipiku dan memintaku menjaga diri.

“Uzi jaga diri baik-baik, walaupun mak tak berapa setuju tapi mak doakan Uzi selamat pergi dan balik. Jangan buat benda tak senonoh! Ingat Tuhan!,” pesannya.

Sebelum menutup pintu rumah, aku terpandang kelibat ayah di ruang tamu. Dia terus menatap rancangan sukan kapal layar di kaca televisyen tanpa menghiraukan aku.

Di dalam kabin kapal terbang, aku dan Haeri duduk berasingan. Penerbangan MAS itu mengambil masa dua jam. Walaupun sudah beberapa kali menaiki penerbangan, perasaan cuak masih ada.

Aku persetankan saja kerana bahaya ada di mana-mana. Lagu kumpulan punk rock Temerloh, Soul Savior bertajuk ‘Menyusur Awan’ berkumandang di benakku.

Aku juga teringat kepada kata-kata novelis kegemaranku, Paulo Coelho: “Pada satu hari, kau akan bangun dan menyedari tiada lagi masa untuk melakukan apa yang kau inginkan. Lakukanlah sekarang.”

Hujan menyambut ketibaanku di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. Kawasan sekitarnya sudahpun gelap walaupun ketika itu jam baru menunjukkan pukul 5.30 petang waktu Indonesia.

Waktu di Jakarta sejam lebih awal berbanding Kuala Lumpur. Waktu Maghribnya sekitar jam 6 begitu. Tanpa menunggu lama, kami sudahpun melepasi kawalan imigresen. Aku bersiul-siul lagu ‘Holiday’ dari Jelly Belly.

Inilah kelebihan membawa beg galas, kami tidak perlu menunggu beg dari perut pesawat. Tak perlu bimbang bagasi hilang bila sampai ke lapangan terbang.

Haeri singgah ke kaunter pengurup wang untuk menukar duit. Aku sudahpun menukar duitku kepada Rupiah semasa di Malaysia. Kadar tukaran pada masa itu, RM 278 bersamaan dengan Rp 1 juta.

Haeri yang menukar wang di lapangan terbang dikenakan kadar lebih tinggi, RM 280 untuk Rp1 juta. Mahal sikit, namun lebih menguntungkan berbanding ketika aku ke Medan tahun lepas. Ketika itu kadar tukaran wangnya adalah RM 300 untuk Rp1 juta.

Haeri membeli air di mesin jualan. Banyak jenama pelik yang dijual, rata-ratanya berharga Rp 5,000. Pening pula bila melihat begitu banyak angka.

Kami berbincang untuk memilih pengangkutan ke Citi Residence di Jalan Hayam Wuruk. Teksi Blue Bird agak mahal berbanding pengangkutan awam lain. Seorang pakcik yang aku kira seorang supir bertanya arah tujuan kami

“Naik sama saya, saya punya mobil,” balas pakcik itu yang menawarkan harga tambang Rp 200,000.

“Terima kasih. Enggak mengapa ya pak,” balasku. Lalu kami memutuskan untuk mengambil bas.

Haeri memberitahu, tambang bas awam hanya Rp 50,000 untuk ke hostel yang telah ditempah secara online. Jauh lebih murah. Hujan masih belum reda di bumi Jakarta. Dalam Bahasa Indonesia, bas dipanggil “bus” dengan sebutan Melayu, bukan seperti sebutan dalam Bahasa Inggeris.

“Waduh, susah mau dapat bus waktu ini. Keadaan di sini macet bangat. Kalau menaiki mobil bisa cepat sampai,” balas pakcik itu memujuk kami supaya setuju menaiki teksinya.

Kami tetap memutuskan untuk menaiki bas. Pemandu-pemandu teksi mengerumuni kami untuk menawarkan perkhidmatan hingga menyukarkan untuk berjalan.

Lebih kurang 10 minit berjalan dan mengharungi para supir yang mengerumun, kami tetapi tidak sampai ke tempat menunggu bas. Seorang lagi pemandu teksi menghampiri dengan tawaran Rp 140,000 untuk ke Jalan Hayam Wuruk.

"Susah mau dapat bus waktu ini. Terlalu sesak,” ujarnya. Dua keping kad nama dikeluarkan dan diberikan kepada kami. Aku dan Haeri saling berpandangan.

Jika jumlah Rp 140,000 dibahagi dua, itu bermaksud aku perlu membayar Rp 70,000 untuk seorang. Lebih Rp 20,000 dari harga tiket bas untuk seorang. Aku mengangguk kepala, Haeri juga setuju.

Mas Jimmy membawa kami menuju ke keretanya, sebuah MPV Toyota Kijang berwarna hitam. Kalau di Malaysia ia dikenali sebagai Toyota Avanza.

Pemain CD memutarkan lagu kugiran Bunga Hitam. Mas Jimmy agak ramah juga. Kami memberitahu rancangan perjalanan kami.

“Waduh, enak sekali. Bagus. Bisa belajar kebudayaan di sini juga,” katanya memberi galakan. Mas Jimmy sudah hampir 10 tahun dia menjadi supir dan turut membuat beberapa kerja lain untuk menyara hidupnya di kota ini.

Mas Jimmy dari suku Batak. Suku ini banyak mendiami Berastagi, Danau Toba dan Medan. Dia berhijrah ke Jakarta untuk mencari rezeki lebih. Di Malaysia, kata “Batak” itu sering dijadikan gelaran negatif.

Kalau gelaran negatif sebegitu diucap di sini, terutamanya di Danau Toba atau Berastagi, mungkin kita sudah kena pukul kerana dianggap mengejek mereka.

Setelah menempuh perjalanan 45 minit, termasuk mengharungi kesesakan yang dahsyat, kami tiba di Jalan Hayam Wuruk. Jam menunjukkan tepat pukul 7.45 malam.

Hostel Citi Residence tidak dapat dilihat dari jalan utama. Kami terpaksa melalui lorong-lorong sempit dan kecil. Lebih kurang 10 minit juga Mas Jimmy berpusing-pusing di sekitar untuk mencari tempat tersebut.

Lokasi itu dicari berdasarkan peta yang dimuat turun oleh Haeri ke dalam telefon Nokia 808 miliknya.

Suasana di sekitarnya agak menyeramkan. Lorong gelap dan sempit itu membuatkan aku tertanya-tanya jika ia merupakan kawasan rumah pelacuran atau penagih dadah.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


Ahmad Fauzan Azam seorang punk rocker. Selain menulis untuk zine Dead Sick Society bersama seorang teman, beliau turut menulis certot untuk Charity Zine terbitan Marhaen Litera.

Anak muda ini juga merupakan salah seorang penulis dalam zine LRT dan antologi cerpen 10 Orang Gila keluaran Cukong Press. Impiannya hanya untuk melihat dunia ini lebih aman didiami.

Buku 'Travelog Faghuzi'

Kembara dua orang anak muda ini ke Indonesia mengajar mereka makna hidup.

Mereka melihat kemanusiaan yang dicarik-carik oleh kemiskinan dan penindasan.

Sisi yang terselindung di sebalik keindahan negara ini mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.

Untuk pembelian, hubungi Rabak-Lit: Facebook , Twitter , Instagram

Rabak-Lit diusahakan oleh kolektif seni Projek Rabak .

Bahagian pertama: 30 hari di Indonesia? Ayuh

Bahagian kedua: Saki-baki pinjaman PTPTN jadi bekalan

Lihat Komen
ADS