Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pencuri letupkan ATM, larikan sejumlah wang
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 12:39 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Sebuah mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Taman Ayer Keroh Height di Melaka diletupkan awal hari ini dan pencuri melarikan sejumlah wang daripada mesin itu.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata bom itu dipercayai diletupkan kira-kira jam 2 pagi dan polis masih menyiasat jumlah wang yang dilarikan itu.

"Ada sebutir lagi bom yang tidak meletup. Kita masih siasat sama ada bom itu 'backup' atau tertinggal. Kita dapat buat analisis (daripada bom yang belum meletup) untuk cuba kenal pasti jenis bom digunakan dan bantu kita siasat siapa yang gunakan ini.

"Kita lihat cara (suspek) letakkan bahan letupan itu ada kepakaran. Jumlah diletakkan tidak terlalu banyak... (bom itu) dapat rosakkan mesin. Sebelum ini kita lihat ada cubaan (kes lain) tetapi tidak dapat pecahkan mesin ATM," katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu beliau mengarahkan semua ketua polis daerah supaya meningkatkan rondaan di kawasan bank dalam daerah masing-masing bagi mengelak kejadian itu daripada berulang.

Chuah berkata polis meletupkan bom kedua pada pukul 10.25 pagi ini sebagai langkah keselamatan.

Beliau berkata polis juga akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut bagi mengenal pasti individu dan kenderaan yang keluar masuk kawasan itu.

"Saksi ada melihat suspek yang terlibat memakai topeng dan keluar masuk kawasan tersebut. Selepas ini kami akan jumpa pengurus bank bagi meningkatkan keselamatan terutamanya pada sebelah malam dan awal pagi," katanya.

Chuah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya segera menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata siasatan awal mendapati bom yang digunakan adalah daripada jenis 'pipe bomb', dicetuskan menggunakan sumbu yang dibakar.

"Bom kedua yang ditemui didapati masih aktif dan dipercayai 'misfire' dalam kejadian tersebut. Bom tersebut telahpun diletupkan oleh polis bagi tujuan keselamatan.

"Kita juga percaya kejadian ini lakukan oleh lebih daripada dua orang suspek yang juga dipercayai melarikan sejumlah wang daripada mesin ATM tersebut. Jumlah wang dilarikan dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata polis mengambil langkah untuk memastikan kawasan itu selamat untuk dikunjungi orang awam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS