Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Muhyiddin sokong SOSMA tapi bukan untuk salah guna'
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 1:12 PM
Dikemaskini: 5:29 AM

Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Muhyiddin Yassin menyokong Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) diluluskan sewaktu dalam kerajaan tidak bererti beliau setuju ia disalahgunakan, kata Shahbudin Husin.

Penulis blog itu berkata selaku ketua whip ketika itu, Muhyiddin hanya mahu memastikan undang-undang itu diluluskan kerana tujuannya jelas bagi menangani ancaman keganasan dan terrorisme.

Semalam Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bersama dengan beberapa pemimpin besar BN mengutuk penahanan pemimpin Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang bawah SOSMA.

"Apa yang berlaku, berdasarkan hujah-hujah dalam kenyataan bersama itu, Sosma jelas telah disalahgunakan terhadap Khairuddin dan Mathias berbanding dengan tujuan asal undang-undang itu diluluskan di Parlimen," tulis Shahbudin di blognya hari ini.

Shahbudin membidas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam yang membangkitkan bahawa Muhyiddin bertanggungjawab memastikan semua undi MP BN mengundi SOSMA.

Menteri kabinet itu turut menyindir Tun Mahathir Mohamed menggunakan ISA dalam pemerintahannya.

Dalam tulisannya juga, Shahbudin mengingatkan Abdul Rahman bahawa ketujuh-tujuh pemimpin yang mengecam Sosma itu kerana mereka percaya wujud penyalahgunaan kuasa dan untuk mendiamkan pengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Apa yang Pengarah Strategik BN itu perlu faham dan hadam betul-betul ialah ketujuh-tujuh yang menentang SOSMA itu kerana wujud unsur penyalahgunaan kuasa dan undang-undang itu dilakukan semata-mata untuk mendiamkan pengkritik perdana menteri.

"SOSMA yang digubal untuk menangani ancaman keganasan dan terrorisme, secara akal logiknya tidak wajar dikenakan kepada seseorang yang hanya membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan terhadap 1MDB," kata Shahbudin

Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad dan musuh politiknya Tengku Razaleigh Hamzah membuat sidang media bersama bagi menyatakan rasa tidak senang berhubung penahanan Khairuddin dan Matthias.

Muhyiddin, bekas menteri kabinet Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Ong Tee Keat turut hadir, turut mengejutkan pelbagai pihak.

Tulisan dalam blog Shahabudin juga menyebut, ketika pentadbiran Dr Mahathir atau pemimpin sebelum itu, tiada individu yang ditahan bawah ISA kerana membuat laporan polis mengenai sesebuah anak syarikat milik kerajaan.

Sebaliknya, katanya, semua penahanan yang dibuat berdasarkan alasan yang lebih besar termasuk ancaman kepada keselamatan negara.

Lihat Komen
ADS