Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai polis, ahli perniagaan dituduh berpakat untuk membunuh
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 3:24 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Lima lelaki termasuk seorang pegawai polis dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan berpakat untuk melakukan pembunuhan, Julai lalu.

Kelima-lima tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Hussin.

ASP Haris Faddila Hasim, 39, yang bertugas di Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Pulau Pinang; ahli perniagaan Lau Ngik Yin, 45, didakwa bersama-sama dua bekas pegawai polis Mohd Nizam Manshor, 34, dan Indra Zaidi Zamani, 32, serta pengawal peribadi Lau, Zainuddin Rosman, 36.

Mahkamah menetapkan 3 November untuk perbicaraan kes tersebut.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan pakatan jenayah dan telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan pakatan untuk membunuh tersebut di Westin Hotel, Jalan Bukit Bintang di sini antara April hingga 15 Jun lalu.

Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 120 B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala pembelaan dikendalikan peguam Gobind Singh Deo.

- Bernama

Lihat Komen
ADS