Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akses Internet, memasak di tandas China
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 4:55 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

China merancang melengkapi kira-kira 14,000 tandas awamnya dengan kemudahan tambahan - termasuk sambungan Internet, mesin juruwang automatik (ATM) dan tempat mengecas kenderaan elektrik.

Dan jika ia terbukti berkesan, kemudahan itu dijangka akan diperluaskan ke seluruh negara.

Dalam pengumuman syarikat pengurusan sistem pembetungan di Beijing, rancangan itu dibuat bagi mempelbagaikan kegunaan tandas awam dan meningkatkan kepuasan pengguna.

Masalah pencemaran bau dan kekotoran adalah antara isu yang lazim dialami di China, termasuk di bandar raya utamanya.

Menjelang hujung November ini, kerja membaik pulih tandas awam untuk dilengkapi kemudahan itu dijangka selesai untuk kawasan Fangshan di pinggir Beijing.

Apabila siap nanti ruang tandas akan digunakan sebaik mungkin untuk dilengkapi kemudahan tambahan, seperti mesin ATM dan alat menempah tiket kereta api dan kapal terbang.

Raikan semua pengguna

Ketika menggunakan tandas awam, pengguna juga boleh menikmati akses Internet secara percuma, atau meminjam buku dari perpustakaan di bangunan tandas.

Di bahagian luar pula dipasang plag elektrik untuk mengecas kenderaan.

Menurut jurucakap syarikat yang mengendalikan kemudahan itu, proses menaik taraf akan turut melihatkan tandas awam di kawasan luar bandar.

"Antara tujuannya ialah untuk meraikan petani yang boleh menggunakan kemudahan itu untuk memasak kerana kami akan menyediakan peralatan seperti ketuhar gelombang mikro," katanya.

Namun sesetengah pihak mempertikaikan kewajaran tandas dilengkapi kemudahan begitu.

Profesor di Universiti Peking, Tong Xin berkata kelengkapan itu sepatutnya dipasang di tempat lain, bukannya di tandas.

"Apa yang penting di tandas awam adalah penjagaan kebersihan untuk kegunaan ramai. Kemudahan lain tidak perlu.

"Kemudahan Internet pula hanya akan menyebabkan tandas awam sesak kerana orang ramai mahu mendapatkan akses percuma," katanya.

Lihat Komen
ADS