Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Tiada projek pembangunan di tapak arkeologi Sg Batu
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Kerajaan negeri tidak akan membenarkan projek pembangunan dilaksanakan di kawasan tapak arkeologi Sungai Batu kerana dibimbangi boleh merosakkan khazanah negara berusia ribuan tahun itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan terdapat pemilik tanah di Sungai Batu yang telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan tanah mereka, tetapi ia ditolak.

"Memang ada permohonan dikemukakan oleh tuan tanah untuk membuat projek pembangunan sebagai contoh perumahan (di Sungai Batu) dan MPSPK (Majlis Perbandaran Sungai Petani) tidak meluluskannya kerana kita hendak membincangkan perkara ini terlebih dahulu," katanya kepada pemberita hari ini.

Kerajaan negeri menurutnya, akan berusaha setakat termampu dalam mengawal pembangunan di tapak yang berpotensi menyimpan khazanah arkeologi negara di Sungai Batu dan berusaha mendapatkan dana untuk kerja-kerja ekskavasi.

Mukhriz berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang viral di laman sosial yang mendakwa tapak arkeologi Sungai Batu bakal musnah berikutan cadangan oleh pemilik tanah hendak membangunkan projek pembangunan komersial.

Tapak arkeologi Sungai Batu menyimpan pelbagai khazanah negara termasuk kewujudan sebuah monumen ritual yang telah pun disahkan menerusi proses saintifik sebagai berusia kira-kira 1,900 tahun.

Penemuan monumen ritual terbabit yang digunakan untuk upacara keagamaan membuktikan tamadun yang pernah wujud di Sungai Batu itu adalah paling tua di Asia Tenggara berbanding Borubodur dan Angkor Wat.

Pengkaji di Sungai Batu turut menemui relau yang digunakan untuk melebur besi, bangunan pentadbiran, jeti dan yang terbaru tinggalan kapal dagang purba di kawasan paya berhampiran tapak arkeologi itu.

Menurut Mukhriz, semua pihak juga perlu rasional dan memahami kawasan berpotensi menyimpan khazanah arkeologi Sungai Batu itu adalah amat luas sehingga mencecah antara 100 hingga 200 kilometer persegi.

"Jadi macam mana, adakah kerajaan negeri disuruh membeli semua tanah itu, siapa hendak membayarnya, di mana datang duit. Kita kena rasional sikit," katanya.

Jabatan Warisan juga katanya, akan membina sebuah muzium arkeologi Sungai Batu dan tapaknya telah pun dikenal pasti.

- Bernama

Lihat Komen
ADS