Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perutusan Maal Hijrah PM sentuh 'cabaran menyergah'
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 5:18 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Sempena sambutan Maal Hijrah esok ke-1437 esok, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengetengahkan cabaran ekonomi dan politik untuk didepani negara ini.

Beliau juga menyeru transformasi untuk menjadikan Malaysia negara wasatiyyah bersendikan maqasid syariah dan menjadikan Ahli Sunnah wal Jamaah sebagai pegangan.

“Walau cabaran ekonomi dan politik menyergah kita, namun dengan izin Allah Taala, cita-cita kita untuk menjadi sebuah negara maju yang makmur akan kita teruskan.

“Semoga dengan semangat hijrah ini menjadi sumber kesungguhan dan iltizam kita untuk menjadi umat yang terbaik dan mampu membawa rahmat risalah Islam ini ke seluruh alam sepanjang zaman,” katanya.

Malaysia kini berdepan kemerosotan teruk nilai ringgit yang kini mencecah tahap terburuk dalam tempoh 17 tahun.

Politik negara pula terus dihantui polemik berpandangan terutamanya dalam isu berkaitan 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib.

Dalam perutusannya hari ini, Najib juga berkata cahaya yang memancar daripada Madinah, destinasi hijrah Rasulullah dan sahabat, menjadi sumber kepada transformasi ketamadunan dan kemakmuran manusia kemudiannya.

“Sesungguhnya, sejarah adalah sumber penting untuk kita mengorak langkah ke hadapan serta paksi dalam kita membentuk wawasan.

“Wawasan nasional kita adalah iaitu untuk menjadi sebuah Negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi,” katanya lagi.

Najib juga berkata, dalam perbahasan umum di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PMM) di New York tempoh hari beliau telah menegaskan mengenai peranan sebuah negara Islam.

“Saya menegaskan sesebuah Negara Islam itu berperanan untuk mempromosikan perlumbaan dari segi kemuliaan, pengetahuan, kebaikan, simpati dan merendah diri – tetapi yang penting, tanpa paksaan,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS