Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan naikkan harga barang kerana kenaikan tol - menteri
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 6:37 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Para peniaga tidak wajar menggunakan alasan kenaikan kadar tol untuk menaikkan harga barangan sesuka hati, demikian tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin.

Ini kerana kenaikan kadar tol itu hanya melibatkan lebuh raya tertentu khususnya di sekitar Lembah Klang, katanya.

"Kenaikan ini bukan semua tol, tapi hanya lebuh raya dalam bandar sahaja. Berapa banyak lori yang pakai lebuh raya ini.

"Jadi kenapa dia (peniaga) nak naikkan harga barang. Berapa peratus sahaja lebuh raya yang naik, dia kena buat kiraan," katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancara Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan Kempen Cintai Buatan Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Beberapa syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM6 berkuat kuasa Khamis ini.

Ia melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART).

Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (GRAND SAGA).

- Bernama

Lihat Komen
ADS