Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1MDB dakwa syarikat tak lagi di bawah siasatan
Diterbitkan:  Oct 14, 2015 1:23 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

1MDB hari ini berkata syarikat itu tidak lagi di bawah siasatan selepas Pejabat Peguam Negara mengambil keputusan tidak mendakwa syarikat itu walaupun kertas siasatan diserahkan oleh Bank Negara.

"Peguam Negara, setelah mengkaji semua dokumen berkaitan yang terkandung dalam kertas siasatan Bank Negara, mengguna-pakai undang-undang berkaitan yang mengawal selia perkara tersebut serta mengesahkan bahawa 'tiada kesalahan dilakukan' oleh 1MDB.

"Pengesahan oleh Pejabat Peguam Negara memperkuatkan lagi kenyataan SPRM pada 22 September bahawa 1MDB tidak berada di bawah siasatan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, 1MDB berkata mereka yang terus membuat tuduhan jenayah terhadap syarikat berkenaan perlu tampil memberikan bukti sekiranya mempunyai alasan untuk siasatan lain.

1MDB dalam kenyataan itu juga membidas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua ( kanan ) kerana menuduh syarikat pelaburan negara yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan ‘penipuan, penyelewengan dan pecah amanah’.

"Ini adalah tuduhan jenayah yang serius, kami menggesa Pua untuk mengemukakan bukti yang nyata kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

"1MDB secara konsisten menegaskan bahawa jika ada apa-apa bukti tentang salah laku, maka tindakan perlu diambil mengikut undang-undang.

"Bagaimanapun, jika beliau gagal mengemukakan bukti, maka Pua perlu berhenti membuat tuduhan liar dan tidak berasas yang jelas bermotifkan politik," kata kenyataan itu lagi.

Lihat Komen
ADS