Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usul undi tak percaya kucar-kacirkan pembangkang

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian menyifatkan Pakatan Harapan dalam keadaan kucar-kacir.

Menurutnya, perbezaan pendapat mengenai pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyerlahkan betapa rapuhnya penyelarasan mereka.

"Apa yang kita saksikan hari ini merangkumkan masalah pembangkang sekarang.

"Ia membuktikan ketika BN sedang mengalami beberapa masalah, pembangkang tidak mampu mengunakan kesempatan daripada kelemahan BN," katanya kepada Malaysiakini.

Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa ahli parlimen PKR Hee Loy Sian supaya menarik balik usul undi tidak percaya itu dengan mengingatkannya bahawa ia bukan "permainan guli".

Sebaliknya, Lim mahu Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk membawa usul yang sebegitu penting dan bukannya dibentangkan oleh mana-mana anggota biasa Parlimen.

Jika tidak, beliau membayangkan DAP mungkin tidak menyokong usul berkenaan.

Hee bagaimanapun tetap berkeras mahu berbuat demikian dengan menempelak Lim bahawa beliau bukan presiden partinya.

Mengulas perkembangan itu, Ibrahim mengakui beliau tidak pasti sama ada terdapat protokol tertentu mengenai pembentangan usul. Bagaimanapun, katanya, mana-mana Ahli Parlimen hendaklah bebas mengemukakan usul.

"Tetapi jika pembangkang melihat ia sebagai sesuatu yang penting, mereka sepatutnya mengadakan pertemuan sebelum ini," katanya.

"Ini hanya menunjukkan mereka kurang persediaan dan tidak mampu untuk bersatu.

"Bagaimana rakyat boleh menaruh keyakinan terhadap mereka?” soalnya.

Wan Azizah tak layak jadi ketua pembangkang

Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Maszlee Malik berkata keadaan itu membuktikan bahawa hubungan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang longgar.

"Ia menunjukkan bagaimana longgar mereka sekarang. Malah, mereka tidak dapat bersetuju mengenai membentangan usul itu.

"Pakatan Harapan terlalu longgar... Dengan PKR menghadapi masalah bersetuju dengan parti-parti komponen, ini punca apa yang kita saksikan hari ini,” katanya.

Mazlee tidak berdolak-dalik dan terus-terang menyalahkan Wan Azizah.

"Semuanya bermula dengan ketidakupayaan beliau menguruskan parti. Dia tidak layak menjadi pemimpin pembangkang.

"Sebagai ketua pembangkang, sebelum meminta Hee membawa usul itu, beliau perlu memanggil semua pemimpin parti terlebih dahulu," katanya.

Katanya, adalah sesuatu yang lumrah, bagi pemimpin pembangkang membentangkan sesuatu usul yang dianggap besar dan penting.

"Ini bukan baru, beliau mengetahuinya. Beliau juga banyak membentangkan (usul) mengenai isu-isu besar pada masa lalu apabila menjadi ketua pembangkang," katanya.

[Baca cerita asal]

Lihat Komen
ADS