Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Kalau dulu paip 4 inci, sekarang perlu 24 inci

Ahli Parlimen Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad hari ini membangkitkan masalah setempat di kawasannnya yang masih belum diselesaikan antara lain masalah kebocoran dan penambahbaikan bekalan air serta pembangunan pusat pengajian tinggi di atas tanah yang diluluskan kerajaan negeri.

Katanya lagi, masalah tersebut sehingga kini belum diselesaikan walaupun seringkali membangkitkan perkara itu dan berharap kepada kerajaan supaya mengambil maklum mengenai perkara itu untuk dilaksanakan.

Beliau menegaskan prasarana untuk membekalkan bekalan air perlu ditukar sejajar dengan pertambahan penduduk di kawasannya.

"Di kampung (dalam kawasan) saya, kalau dulu penduduk 500 orang sekarang dah 5,000 orang. Kalau dahulu, paip empat inci, sekarang sudah perlu 24 inci.

"Jadi macam mana nak cukup nak bekal air dengan pembangunan baru. Nak ke sekolah, nak anak sudah ramai. Iya... empat inci paip kami, bulatan, panjang lebih. Itu bulatan," katanya yang tersenyum dan kemudiannya diiringi ketawa besar beberapa ahli Parlimen.

"Cuba bayang bulatan empat inci, panjangnya berapa kilometer? Kalau paip kecil, air memancut kecil, kalau paip paip besar, air memancut besar," kata Abdul Rahman lagi yang sekali lagi diiiringi ketawa anggota parlimen.

"Jadi inilah masalah di Lipis," katanya sambil meminta agensi kerajaan atai kementerian yang terlibat supaya segera menyelesaikan masalah itu dan mengucapkan terima kasih kerana diperuntukan sebanyak RM35 juta untuk mengatasi masalah kebocoran air.

Abdul Rahman berkata demikian sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan atau Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas mengenai cadangannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak supaya membina Universiti Teknologi Mara (UiTM) di kawasannya memandangkan sebanyak 1,000 ekar tanah telah diluluskan oleh kerajaan negeri, beliau berkata:

"Tak buat lagi. Tak apalah mungkin dalam Rancangan Malaysia ke-11. Tapi dengarlah suara dalam Dewan Rakyat ini. Kalau tak mahu buat tak apa tak ada masalah.

"Pulang balik tanah itu kepada kerajaan negeri. Biar saya pula yang pajaknya, kita buat ternak lembu, tanam durian, jangan buat begitu, buat menyemak di kawasan saya.

"Kalau ada wakil Kementerian Pengajian Tinggi, tolong catit, tak mahu buat tak apa, pulang balik kepada kerajaan negeri, kita boleh bayar royaltinya," katanya.

Lihat Komen
ADS