Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid dakwa Tian Chua 'dalang' pertemuan Izzah-Jacel

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mendakwa Naib Presiden PKR Tian Chua sebagai 'dalang' pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III, Jacel H Kiram.

"Tian Chua adalah orang di belakang (pertemuan) yang telah mengatur pertemuan itu.

"Tian Chua orang yang bertanggungjawab menjalankan tindakan cara halus untuk menghubungkan apa yang dipanggil 'Kesultanan Sulu' yang kononnya mahu tuntut semula wilayah kesulatan itu hingga ke Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada ketika ditemui pemberita selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di ibu negara.

Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR, terpaksa menyatakan kekesalannya berhubung kegusaran yang timbul akibat foto beliau bersama Jacel.

MP Lembah Pantai itu menegaskan, beliau tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dengan wanita terbabit.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga menteri dalam negeri mengingatkan Tian Chua supaya lebih berhati-hati dalam segala tindakan yang diambilnya.

"Saya harap Tian Chua hati-hati di dalam perbuatannya. Tian Chua harus teliti dalam mengaturkan program untuk pemimpin parti. Tian Chua jangan sebarangan untuk keluarkan kenyataan," kata Zahid.

Anggota Parlimen Bagan Datoh itu juga berkata Tian mempunyai tujuan tersirat apabila mempersoalkan bentuk kesalahan jenayah yang dilakukan Nurul Izzah.

"Saya fikir ada tujuan tersirat oleh orang itu yang bertanyakan pada saya dan kerajaan apakah kesalahan jenayah yang dilakukan.

"Ini bukan soal jenayah tapi ini soal maruah, (ini soal) kedaulatan negara yang perlu dipatuhi.

"Kita boleh berbeza pendapat, boleh raikan perbedaan pandangan tapi soal kedaultan negara dan maruah negara seharusnya tiada kompromi," kata Zahid.

PKR sebelum ini dilaporkan membidas kenyataan Zahid semalam yang mengatakan akan menyerahkan kertas siasatan berhubung pertemuan Nurul Izzah dengan anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III, Jacel H Kiram kepada peguam negara untuk tindakan lanjut.

Tian Chua mempersoalkan apakah kesalahan Nurul Izzah sehingga Putrajaya ingin mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan komen Tian Chua berhubung dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS