Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guna bahasa Inggeris, MP DAP biadap, kata menteri

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beranggapan pemimpin DAP Chong Chieng Jen biadab kerana mengemukakan soal hak anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam Bahasa Inggeris,

“Saya rasa tindakan MP Kuching itu untuk memperlekehkan Bahasa Malaysia, saya anggap satu tindakan yang biadab kalau tidak mahu cakap Bahasa Malaysia di dalam parlimen.

“Ini bukan soal hak asasi, ini bukan soal hak tapi kita sudah tahu itu bahasa rasmi, daripada dulu tidak ada pernah orang mempersoal kalau dulu nak guna satu Bahasa Inggeris pun dengan izin, sampai begitu orang menghormati Bahasa Malaysia di dalam parlimen tapi hari ini DAP Kuching menolak Bahasa Malaysia,” katanya.

Ismail berkata demikian ketika sesi rehat Majlis Graduasi Sijil Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) di Wisma Felcra di Kuala Lumpur, hari ini.

Sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat minggu lalu bertukar kecoh dengan pertikaman lidah beberapa anggota parlimen berhubung penggunaan bahasa Inggeris di dewan itu.

Chong yang memulakan ucapan perbahasannya dalam bahasa Malaysia, kemudian beralih ke bahasa Inggeris menyatakan hak itu terkandung dalam Perlembagaan Malaysia.

Katanya lagi, Bahasa Malaysia merupakan Bahasa rasmi yang perlu digunakan di dalam parlimen termasuk mahkamah.

“Di pertingkat nasional, Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan kita jadi di dalam parlimen pun guna bahasa kebangsaan.

“Bahasa Malaysia sudah dijadikan bahasa yang perlu digunakan, begitu juga dengan mahkamah,” katanya.

Ismail berkata, tidak ada sebarang alasan untuk Chong tidak mahu bertutur menggunakan Bahasa Malaysia.

“Tidak ada alasan yang dia boleh guna, (Chong) tidak menghormati perlembagaan kerana Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan,” katanya.

Lihat Komen
ADS