Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berdepan siasatan hasutan, Tawfik tetap mahu Jakim dimansuh

Di sebalik berdepan dengan kes siasatan hasutan, anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman - Tawfik Ismail tetap dengan pendiriannya berhubung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tawfik memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa beliau sedia untuk disiasat atas dakwaan hasutan berhubung kenyataannya ke atas Jakim.

"Malah (ini bermakna akan) ke penjara. Bapa saya berjuang untuk kemerdekaan negara ini dari penguasaan British. Saya akan berjuang untuk hak rakyat negara ini seperti yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Portal The Malaysian Insider melaporkan bahawa polis memulakan siasatan berikutan laporan yang dibuat di Shah Alam terhadap Tawfik.

Ini selepas sebuah portal berita melaporkan beliau sebagai berkata Jakim perlu dimansuhkan kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, jabatan itu tidak mempunyai peranan.

Tawfik disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama.

Tawfik, yang juga ahli G25 - kumpulan yang terdiri daripada bekas pegawai kanan kerajaan - berkata Jakim, dan penyokongnya, perlu menjawab kepada orang ramai mengapa ia merampas kuasa sultan dalam hal ehwal agama.

"Adakah ia (Jakim) alat politik? Islam sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai agama rasmi negara ini, dan ia hanya boleh menjadi lemah apabila hak Raja-Raja Melayu dipijak-pijak,” katanya.

Menurutnya, Jakim kini seperti "kerajaan dalam kerajaan" kerana pengaruhnya dalam hampir semua kementerian yang perkhidmatannya memberi kesan kepada hidup orang Islam dan bukan Islam.

"Terdapat pelbagai peluang buat Jakim menyalahguna kuasa jika ia diberi kuasa meluas menentukan perkara yang boleh dan tidak boleh ke atas orang Islam.

“Dan ini tidak membuat apa-apa dalam mengukuhkan integrasi nasional yang merupakan hujah utama terhadap kewujudan Jakim dalam hidup kita,” katanya.

Menurut Tawfik Jakim yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu menjelaskan sebab ia menampilkan dirinya sebagai penentu utama amalan agama Islam di Malaysia.

"Apakah undang-undang dari langit atau sekular yang memberikan Jakim kuasa bagi mendakwa Islam versi mereka merupakan satu-satunya versi Islam yang Muslim perlu amalkan sewaktu Malaysia mengiktiraf Amman Message yang menerima 8 mazhab Islam lain sebagai sah?” soalnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS