Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Web pro-Umno ketawakan Dr M hingga 'keluar air mata'
Diterbitkan:  Nov 24, 2015 3:48 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Sebuah laman sesawang pro-Umno mentertawakan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga "keluar air mata" ekoran rungutan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu sukar mendapat tempat untuk berucap.

Dalam nada penuh sindiran penulis rencana itu berkata, air matanya hampir jatuh membaca kenyataan Dr Mahathir tetapi ia bukanlah kerana terlalu sedih, sebaliknya "terlalu geli hati membawa lawak retorik seorang negarawan ulung" yang kini diandaikan seperti pengemis politik.

Melalui artikel disiarkan laman sesawang MyKMU itu, penulis berkenaan meminta orang ramai mengasihani Dr Mahathir dan tidak takut memanggil beliau untuk berucap.

"Bukalah pintu itu selebar-lebarnya hiasi dengan karpet merah, bunga manggar, kompang dan taburan kelopak mawar menyambut beliau," katanya.

Jika tiada dewan yang sudi, katanya, ada banyak lagi premis yang boleh digunakan Dr Mahathir untuk berucap seperti "Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur Selangor (mungkin merujuk kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor - KLSCAH) atau tempat dimiliki Majlis Bandaraya Shah Alam.

Katanya, KLSCAH sering digunakan pembangkang untuk mengadakan majlis mengkritik kerajaan, selain pernah dijadikan tempat Sasterawan Negara Datuk A Samad Said bersajak.

Tempelak 'anak derhaka'

Untuk di kawasan Selangor, kata rencana itu, Dr Mahathir boleh mendapatkan kerjasama daripada Menteri Besar Selangor Azmin Ali.

Satu lagi lokasi dicadangkan ialah mana-mana tempat di Kedah yang kini ditadbir oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Jika ‘dia’ cuba bantah, maka bekas memanda menteri perdana boleh tempelak ‘dia’ sebagai ‘anak derhaka’. ‘Berani tidak beri ruang pada ayahanda?’. Paksa ‘dia’ suruh beri dewan yang ada penghawa dingin dan lengkap!" katanya.

Semalam Dr Mahathir mengemas kini blognya dengan menyatakan ada pihak gigih mahu menutup mulutnya dan menyekat beliau daripada berjumpa dengan ahli Umno atau orang ramai.

Kata Dr Mahathr, sebelum ini masalah mendapatkan tempat untuk berucap tidak pernah dihadapi sehinggalah beliau mengubah sikap menjadi pengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir kini menjadi antara pengkritik paling lantang Najib dan berkali-kali mendesak - secara terbuka - supaya kepimpinan negara dan Umno diganti.

Kata penulis yang tidak dikenali itu jika Dr Mahathir mahu sangat bercakap kepada ahli Umno beliau boleh pergi ke Pagoh kerana di sana ada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penyokongnya.

"Mungkin juga boleh rancang sesuatu di situ, bukan?" katanya.

Muhyiddin adalah timbalan perdana menteri sebelum dipecat Najib ekoran lantang mengkritik cara kerajaan menangani pelbagai isu, termasuk 1MDB serta penyaluran dana kontroversi dari luar negara.

Rencana itu diakhiri dengan sedikit apologetik - tapi tetap sinis: "Penulis memohon maaf jika bekas memanda menteri perdana tersinggung atau marah dengan tulisan ini. Penulis menulis bukanlah kerana benci, sebaliknya kerana sayangkan bekas memanda menteri perdana. Takkanlah lepas tidak jadi Presiden Umno tak boleh tegur sikit…"

Lihat Komen
ADS