Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isteri maut, suami parah digilis treler
Diterbitkan:  Nov 24, 2015 4:55 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Seorang wanita warga emas maut selepas digilis treler di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Azlan Shah, Batu Uban di George Town hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa Ching Kim Hiang, 72, yang membonceng motosikal ditunggang suaminya dilaporkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan dan kaki.

Suami mangsa, Yeap Hun Cheng, 78, pula cedera parah akibat kemalangan itu. Difahamkan pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Desa Relau, dekat George Town.

Pegawai Trafik Kontijen Pulau Pinang DSP Tan Boon Hooi berkata kemalangan itu berlaku apabila treler yang dipandu lelaki berusia 35 tahun itu cuba memotong motosikal dinaiki pasangan berkenaan ketika hampir sampai di lampu isyarat terbabit.

"Treler itu dipercayai telah bergesel dengan motosikal berkenaan sebelum pasangan terbabit terjatuh dan diseret kira-kira 53 meter dan digilis kenderaan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tan berkata semasa kejadian kedua-dua kenderaan itu dari arah yang sama dan menghala ke Bayan Baru.

Katanya pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia ditahan untuk siasatan lanjut termasuk menjalani ujian air kencing.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala suaminya dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut, katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tan berkata seorang pemandu bas ekspres berusia 40 tahun cedera selepas bas yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di antara pembahagi jalan di susur Jambatan Pulau Pinang menghala ke Bayan Lepas hari ini.

Katanya semasa kemalangan kira-kira pukul 6.20 pagi, bas ekspres yang membawa kira-kira 30 penumpang dari Kuala Lumpur itu sedang menghala ke Terminal Bas Sungai Nibong.

"Hanya pemandu bas mengalami kecederaan iaitu luka di muka dan hidung manakala semua penumpang tidak cedera. Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan teruk sepanjang dua kilometer," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS