Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BI: Adenan minta pengkritik bersikap realistik
Diterbitkan:  Nov 24, 2015 4:59 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem meminta pihak yang mengkritik keputusan beliau menjadikan Bahasa Inggeris, selain Bahasa Malaysia, sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan negeri supaya bersikap realisik dengan mengakui bahasa itu merupakan bahasa antarabangsa.

Beliau turut menegaskan keputusannya itu tidak bererti Bahasa Malaysia akan dipinggirkan sebaliknya berkata kedua-dua bahasa tersebut akan diguna pakai bersama.

"Anda tidak boleh nafikan bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa, tidak boleh dinafikan, saya memang bersikap realistik kerana jika kita tidak bersama-sama dalam perkara itu kita akan ketinggalan di belakang.

"Dan anda lihat saya tidak mengatakan bahasa Inggeris akan menggantikan Bahasa Malaysia... tidak... kita akan terus dengan Bahasa Malaysia, kita akan membangunkan kedua-dua bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN), Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN, dan Cek Pampasan Tanah di Dewan Suarah Bau hari ini.

Adenan berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan pelbagai pihak selepas beliau mengumumkan kerajaan negeri akan membenarkan urusan surat-menyurat rasmi dilakukan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.

Semalam, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim berkata langkah kerajaan Sarawak itu dilihat boleh menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS