Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Amanah Negara (AMANAH) disarankan agar bersikap ‘gentleman’ dan tidak sesuka hati melabel PAS mempunyai ciri-ciri rangkaian pengganas Negara Islam (IS), kata Datuk Mohd Amar Abdullah.

"Dia (AMANAH) tak boleh ambil orang bawah cakap (dan kata) itu IS itu IS. Nanti saya kata dia sekular macam mana? Kalau nak melabel kita jangan begitulah.

"Kena bersikap gentleman... Jangan nak melabel orang dan jangan ambil kira semua orang bercakap.

"Kalau ada pengaruh IS kenapa dulu dia terima bai'ah?" kata naib presiden PAS itu dalam sidang media di ibu pejabat PAS, hari ini.

Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof hari ini mendakwa anggota parti itu menjadi mangsa kepada ‘tindakan melampau’ ahli-ahli dan penyokong PAS.

Bercakap pada sidang media di Parlimen, MP Parit Buntar itu menyamakan tindakan mereka sama seperti ciri-ciri rangkaian pengganas IS.

Mujahid turut berkata anggota AMANAH dimaki hamun secara lisan dan juga di laman Facebook pada setiap hari.

Justeru, Mohd Amar yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan mahu perkara itu dibuktikan terlebih dahulu sebelum tuduhan dibuat.

“Kalau kata ada (unsur) IS, sebab apa bukti IS nya? soal timbalan menteri besar Kelantan itu.

Mohd Amar turut mempersoalkan mengapa isu bai'ah talak dibangkitkan kini sedangkan ia adalah hak parti yang dipersetujui bersama oleh kepimpinan PAS.

Bahas bukan senyap

"Kalau dia (Mujahid) kata benda ini tak betul, dia sebahagian daripada perkara yang tak betul.

"Tak patut dia buat macam tu. Sepatutnya masa itu dia kena bahas, bangkang. Bukan senyap.

"Jadi kenapa sekarang bila dah keluar baru hendak bangkitkan? soal Mohd Amar lagi.

Mengulas tindakan PAS dan AMANAH seolah-olah saling berbalas serangan, Nik Amar menegaskan ia adalah tindak balas daripada kenyataan parti serpihan PAS itu dan memberi penjelasan supay rakyat tidak keliru.

"Kita (berpendapat) lebih sekadar tindak balas, kita tak mulakan. Kita menjelaskan keadaan, bukan tujuan kita serang dia. Kena jelas tentang itu.

"Apa-apa kita buat ini tindak balas (kenyataan AMANAH). Penjelasan pada isu yang dibangkitkan.

"Sebab sebahagian dari pimpinan AMANAH ini suka sebarkan benda tak betul, sebarkan maklumat salah pada masyarakat," kata Mohd Amar.

Mengulas mengenai usaha mendamaikan kedua-dua parti ini Nik Amar berkata tidak ada apa lagi yang boleh dibuat.

"Usaha dah dibuat sebelum AMANAH dibentuk supaya tidak berlaku perpecahan, tapi dia tak dapat terima.

"Jadi kita kena terima sahajalah. Nak buat macam mana," kata Nik Amar dalam nada kesal.

Lihat Komen
ADS