Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KP: Tiada unsur khianat kematian pesakit di Hospital Selayang
Diterbitkan:  Nov 24, 2015 6:42 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Tiada unsur khianat dalam kematian seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang ditemui mati di Hospital Selayang, Ahad lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata punca kematian lelaki itu adalah kerana pelbagai trauma akibat mangsa terjatuh dari tempat tinggi yang dikesan semasa bedah siasat pada hari berikutnya dan mayat kemudian diserahkan kepada keluarga selepas itu.

"Bagaimanapun, kementerian akan melakukan siasatan menyeluruh ke atas tragedi ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga kerana kehilangan orang yang mereka sayangi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham mangsa kemungkinan jatuh dari panel atas tingkap di tempat tidurnya di tingkat 10.

"Lelaki itu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.50 malam dan keluarganya diberitahu mengenai kejadian itu. Satu laporan polis dibuat oleh kakitangan hospital pada malam kejadian," kata Dr Noor Hisham.

Dr Noor Hisham berkata kali terakhir si mati dilihat berada di katilnya semasa seorang jururawat memeriksanya sebelum jururawat itu dipanggil lagi oleh seorang pesakit yang mendengar benda jatuh berhampiran.

Beliau berkata semakan ke atas rekod perubatan si mati menunjukkan dia dimasukkan ke wad 10D Hospital Selayang pada 21 November kerana radang perut dan usus yang serius, selain telah dimasukkan ke hospital beberapa kali kerana lain-lain penyakit.

"Semasa kemasukannya yang terakhir, si mati tidak menunjukkan sebarang simptom kemurungan atau sebarang kelakuan tidak normal yang memerlukan lebih pemantauan," kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata langkah memastikan keselamatan pesakit merupakan sebahagian daripada polisi kementerian dan menjadi polisi hospital untuk hanya membenarkan panel atas tingkap dibuka pada sudut 30 darjah untuk peredaran udara.

"Panel bawah kesemua tingkap dimateri bagi tujuan keselamatan dan langkah pencegahan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS