Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah: Soal perasmian adalah perkara kecil...
Diterbitkan:  Nov 25, 2015 7:23 AM
Dikemaskini: 11:36 PM

Bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz menegaskan agar sengketa antara pemimpin jangan menjadi punca Umno berpecah di akar umbi.

"Soal perasmian adalah perkara kecil... yang penting mulai sekarang kerja-kerja di akar umbi dijalankan dengan komitmen dan serius. Sengketa antara pemimpin jangan menjadi punca Umno berpecah di akar umbi.

"Individu tidak penting... kerana individu akan datang dan pergi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Tertinggi bahawa mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap Umno - Wanita, Pemuda dan Puteri - di perhimpunan agung Umno bulan depan tidak akan dirasmikan timbalan presiden parti.

MT yang bermesyuarat semalam memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.

Rafidah berkata yang menjadi keutamaan sekarang adalah perjuangan anggota Umno untuk kepentingan parti, bukan untuk individu tertentu.

Beliau menegaskan, Umno perlu diperkukuhkan sekiranya mahu terus relevan danmeneraju negara.

Sementara itu, bekas Anggota MT Tan Sri Syed Hamid Albar pula berkata keputusan itu bukan sesuatu yang bercanggah dengan perlembagaan parti meskipun hakikatnya ia menjadi amalan parti itu sebelum ini.

Beliau berkata perubahan sesuatu amalan dalam parti boleh berlaku sekiranya telah mendapat persetujuan termasuk daripada MT Umno.

"Jadi, apa sahaja amalan yang dipraktikkan selama ini tetapi kemudiannya mendapat persetujuan untuk merombak amalan itu, perkara itu bukan satu yang di luar kelaziman," kata Syed Hamid.

Beliau berkata keputusan baru yang dibuat boleh mengatasi apa-apa sahaja ketetapan atau amalan selagi mana perkara itu tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

"Mungkin isu ini akan menjadi persoalan dan teka-teki dalam kalangan para pemerhati politik, tapi saya nampak persoalan itu pun telah dijawab oleh presiden Umno," katanya.

Sementara itu, Datuk Abu Bakar Lajim berkata mana-mana individu tidak harus beremosi dengan keputusan yang diambil oleh MT Umno itu.

"Perubahan ini dilakukan oleh presiden parti mengikut kehendak ramai dan keputusan yang ditetapkan pada hari ini sebenarnya membuka peluang kepada ketua perwakilan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda kerana golongan muda ini yang akan memimpin parti pada kemudian hari.

"Dengan ini, pengikut setiap sayap akan dapat melihat kemampuan ketua mereka dalam membawa agenda-agenda parti kerana kini UMNO itu dipimpin oleh pucuk kepimpinan yang berpandangan jauh," katanya ketika dihubungi Bernama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS