Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Pakatan Harapan mensasarkan agar pemuliharaan dan kawasan tadahan air harus diberikan keutamaan paling tinggi dalam perancangan bekalan air bersih negeri.

Kami juga berhasrat untuk menerangkan kepada masyarakat dalam bentuk pelan bluprint, struktur serta rancangan luar jangka. Sasarannya:

  • Mengurangkan beban rakyat dalam menikmati bekalan air yang bersih dan selamat serta perkhidmatan dan pengurusan bekalan air yang cekap.
  • Memastikan kesinambungan bekalan air bagi memastikan bekalan air terawat kepada pengguna tanpa gangguan.
  • Mengambil langkah yang proaktif bagi mengurangkan penggunaan air dan mengurangkan pembaziran.

Negeri Johor dikurniakan dengan dataran yang luas, pesisiran pantai yang panjang dan pelbagai sumber asli yang kaya termasuk sumber air yang lumayan.

Terdapat sepuluh lembangan sungai yang utama di negeri Johor termasuklah Sungai Johor, Sungai Muar,Sungai Kesang, Sungai Batu Pahat, Sungai Pontian, Sungai Benut, Sungai Pulai, Sungai Sedili Besar, Sungai Mersing dan Sungai Endau.

Antaranya tidak kurang yang menjadi sumber air atau berpotensi dijadikan sumber air untuk dibekalkan kepada pengguna. Padahal, Sungai Johor telah menjadi sumber air yang utama di sekitar daerah Johor Bahru yang kini pesat membangun.

Pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan tadahan

Sebanyak 13 kawasan tadahan air seluas lebih kurang 409 km persegi yang menjadi sumber air utama dalam negeri Johor yang telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

Bagaimana pun, pewartaan ini adalah tidak mencukupi jika dibandingkan keluasan keseluruhan untuk 15 empangan yang terdapat di negeri Johor yang meliputi keluasan sebanyak 922.36 km persegi.

Ini belum termasuk kawasan tadahan air yang sepatutnya jauh lebih luas memandangkan kita mempunyai 45 tempat pengambilan air bagi 45 loji rawatan air yang seharusnya dipelihara kawasan tadahan airnya.

Baru-baru ini, sebahagian besar penduduk di daerah Johor Bahru mengalami krisis bekalan air yang serius sehingga pihak berkenaan terpaksa melaksanakan catuan air di kawasan terjejas sejak tiga bulan lalu dan masih diteruskan sehingga sekarang.

Punca utama berlakunya krisis air kali ini adalah paras air yang rendah sehingga berada di bawah paras kritikal di dua empangan utama iaitu Empangan Sungai Layang dan Empangan Sungai Lebam.

Walaupun musim kering yang berpanjangan antara punca yang menyebabkan paras air di kedua-dua empangan di atas menyusut secara mendadak kawasan tadahan air yang tidak terpelihara adalah antara punca utama yang perlu diberikan penekanan oleh pihak kerajaan.

Pemeliharaan kawasan tadahan air haruslah menjadi keutamaan pihak kerajaan untuk memastikan kemapanan sumber air di negeri Johor.

Kawasan tadahan air seharusnya diwartakan menjadikan kawasan larangan untuk memastikan sumber air bebas daripada sebarangan bentuk pencemaran.

Keadaan yang ideal adalah supaya kawasan tadahan sumber air haruslah seboleh-bolehnya dikekalkan sebagai hutan semulajadi untuk memelihara sumber air yang selamat dan bersih.

Bagaimana pun, masih terdapat pencerohan kawasan tadahan air yang harus diberikan perhatian serius daripada pihak kerajaan.

Pelbagai aktiviti manusia khasnya pertanian dan perindustrian yang akan mencemarkan sumber air dan memusnahkan ekosistem hutan sedang atau dibenarkan berlangsung dalam kawasan tadahan di beberapa sumber air utama di negeri Johor seperti Empangan Sembrong, Macap, dan termasuklah Empangan Sungai Layang dan Sungai Lebam yang bermasalah baru-baru ini.

Selepas pewartaan Enakmen Air 1921 (Pindaan 2012), kerajaan seharusnya menguatkuasakan Enakmen ini untuk meningkatkan usaha pemelihara sumber air di negeri Johor.

Langkah-langkah berkesan juga perlu dijalankan untuk memulihara tanah-tanah dalam kawasan tadahan air yang telah dimusnahkan sebelum keadaan menjadi leih teruk.

Kerajaan harus menggunakan cara yang pelbagai termasuklah mengambil balik tanah yang diceroboh dengan pampasan yang munasabah atau tanpa pampasan mengikut kesesuaian kes, memberikan denda atau mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang ingkar arahan atau terus meneruskan aktiviti pencerobohan mereka.

Manfaat rakyat dan monopoli bekalan air

SAJ merupakan syarikat konsesi yang memonopoli industri perkhidmatan bekalan air di negeri Johor dan mencatatkan keuntungan berpuluh juta ringgit setiap tahun seperti jadual di bawah.

Dengan keuntungan sebanyak 8 hingga 20 peratus, SAJ mencatatkan kadar keuntungan yang terlampau tinggi kerana syarikat ini merupakan suatu perniagaan monopoli yang mana rakyat atau pengguna tidak mempunyai alternatif lain selain SAJ.

Pada masa yang sama, perkhidmatan pembekalan air terawat tidak seharusnya dilihat sebagai suatu perniagaan yang berorientasikan keuntungan.

Oleh yang demikian kadar keuntungan syarikat-syarikat pembekal air terawat tidak seharusnya terlalu tinggi dan haruslah dihadkan kepada 6 peratus sahaja setiap tahun.

Keuntungan yang lebih daripada 6 peratus seharuslah diberikan sebahagian besarnya kepada Kerajaan Negeri untuk digunakan dalam perbelanjaan pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan tadahan air bagi menjamin keselamatan dan kebersihan sumber air mentah.

Air mentah yang lebih bersih sebenarnya juga akan menguntungkan pihak syarikat air kerana ini secara langsung akan mengurangkan kos rawatan air mentah dan sekaligus menambahkan keuntungan yang mungkin diperolehi syarikat air di samping mengurangkan beban pengguna.

Mengurangkan kadar NRW

Walaupun kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri Johor adalah antara yang paling rendah berbanding dengan negeri-negeri yang lain NRW di negeri Johor masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.

Bagi tiga tahun kebelakangan ini, kadar NRW di negera kekal pada kadar sekitar 25 hingga 26 peratus, masih jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar 15 peratus bagi piawai negara maju.

Kita berasa bangga dengan pencapaian kita yang sekadar raja di kampung dan menggelar diri kita “negara membangun” yang akan mencapai tahap “negara maju” dalam masa lima tahun lagi.

Namun kadar NRW kita telah membuktikan bahawa kita sebenarnya masih jauh daripada piawai negara maju.

Kadar NRW yang tinggi bukan sahaja telah memalukan kita kerana keberkesanan pengurusan sumber air kita yang rendah malahan telah juga mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit yang mana akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Jadual ini jelas menunjukkan bahawa kita hilang lebih 400 ribu m3 (400 juta liter) air terawat setiap hari. Pada kadar domestik terendah iaitu 60 sen untuk satu meter padu air, setiap hari SAJ hilang hasil pendapatan RM255,600, bersamaan lebih daripada RM 93 juta setahun.

Kerugian sebenar tentu jauh lebih tinggi daripada jumlah yang ditunjukkan dalam Jadual 2 kerana jumlah itu dijangkakan berdasarkan kadar tariff yang paling minimum iaitu kadar domestik yang paling rendah. Jumlah ini dijangkakan akan melambung lebih tinggi ekoran kenaikan tarif air yang berkuatkuasa mulai 1 Ogos tahun ini.

Pihak kerajaan mahupun pihak SAJ seharusnya meletakkan penurunan kadar NRW sebagai teras utama dalam usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pembekalan air di negeri Johor. Hal ini demikian kerana air merupakan sumber alam yang begitu penting dan amat berharga. Pada masa yang sama, penurunan kadar NRW juga akan meningkatkan hasil pihak SAJ dan secara tidak langsung mengurangkan beban pengguna.

Pihak kerajaan dan juga SAJ seharusnya menetapkan sasaran untuk menurunkan kadar NRW di negeri Johor ke kadar bawah daripada 20 peratus dalam masa terdekat dan kurang daripada 15 peratus menjelang tahun 2020.

Pelan kecemasan

Hampir setiap tahun penduduk-penduduk di sekitar daerah Kluang akan dihantui masalah gangguan bekalan air yang kadang-kala terpaksa melaksanakan catuan air di kawasan terbabit.

Keadaan ini masih belum dapat diselesaikan walaupun telah beberapa tahun perkara yang serupa berlaku berulang-ulang di daerah Kluang.

Baru-baru ini masalah yang serupa telah menghantui sebahagian besar penduduk di daerah Johor Bahru.

Catuan air di sekitar kawasan Pasir Gudang telah masuk bulan keempat dan pihak berkenaan masih belum dapat mengemukakan suatu penyelesaian yang berkesan bagi menangani masalah ini.

Pihak kami mencadangkan supaya pihak kerajaan dan juga SAJ Holdings Sdn Bhd menyediakan pelan kecemasan yang berkesan untuk menghadapi segala krisis yang mungkin berlaku.

Menurut pemerhatian kami, hampir setiap tahun keadaan iklim di negara tidak menunjukkan perubahan yang amat ketara dan Jabatan Meteologi akan dari semasa ke semasa membuat anggaran telah segala perubahan iklim yang mungkin berlaku.

Justeru, pihak kerajaan dan juga SAJ tidak seharusnya menggunakan perubahan iklim sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab mereka dalam memastikan bekalan air yang tidak terganggu dapat disalurkan kepada pengguna. Kerajaan dan SAJ haruslah menyediakan pelan kecermasan untuk menghadapi segala krisis air yang mungkin berlaku dalam negeri Johor.

Pengurusan bekalan yang berkesan

Penggunaan air per kapita negeri Johor yang mencatatkan 220 liter per kapita sehari adalah terlalu tinggi berbanding dengan kebanyakan negara maju seperti 151 liter per kapita sehari di Singapura. Kerajaan haruslah menggunakan sasaran sebagai panduan untuk menurunkan kadar penggunaan air per kapita di negeri Johor.

Untuk tujuan ini, pengurusan keperluan harus dijalankan dalam negeri Johor untuk menurunkan kadar penggunaan per kapita di negeri Johor.

Pengurusan keperluan haruslah dijalankan secara proaktif tetapi bukan sekadar menjalan kempen kesedaran dengan mengedarkan risalah sahaja. Insentif dan pelbagai penggalakan perlu diberikan pengguna untuk menggalakkan para pengguna menggunakan air secara berjimat-cermat.

Pengurusan keperluan mungkin Nampak bercanggahan dengan objektif pihak SAJ yang mendapat keuntungan daripada penggunaan air oleh para pengguna.

Dengan kata lain, SAJ akan mendapat keuntungan lebih besar sekiranya pengguna menggunakan lebih banyak air.

Bagaimanapun, pihak kerajaan dan SAJ seharusnya berpandang jauh dan sedar bahawa pengurusan keperluan yang berkesan dapat menjamin kemapanan industri bekalan air.

Kesimpulannya, kerajaan haruslah menguatkuasa Enakmen Air 1921 (Pindaan 2012) pada kadar secepat yang mungkin bagi memastikan kawasan tadahan air di negeri Johor sentiasa terpelihara.

Keuntungan syarikat air juga haruslah dihadkan dan lebihan keuntungan digunakan untuk kegunaan pemeliharaan sumber air.

Selain itu, keberkesanan syarikat air wajib ditingkatkan bagi mengurangkan pembaziran dan menggalakkan penjimatan penggunaan air.


TAN HONG PIN ADUN Mengkibol.

Lihat Komen
ADS