Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Buat laporan polis jika ada bukti, kata pembantu Rosmah

Charles Suresh Morais boleh membuat laporan polis mengenai dakwaannya berhubung pembunuhan abangnya Kevin Anthony Morais, kata seorang pembantu kepada isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

"Sesiapa sahaja boleh buat dakwaan itu.

"Jika benar dia (Charles) ada bukti, maka dia harus membuat laporan polis dan meminta mereka dan Peguam Negara untuk menyiasat.

“Kami tidak mahu ulas apa-apa," kata Datuk Rizal Mansor kepada Malaysiakini.

Menurutnya, terbaik adalah untuk polis dan Peguam Negara mengendalikan dakwaan berkenaan.

Rizal berkata demikian bagi mengulas dakwaan Charles bahawa ada konspirasi di sebalik pembunuhan kejam abangnya, seorang timbalan pendakwa raya kanan.

Dalam akuan sumpah berkanun (SD), semalam Charles mendakwa mempunyai pen drive yang dihantar oleh abangnya sebelum beliau dilaporkan hilang dan kemudiannya dijumpai mati.

"Ia kini selamat di Amerika Syarikat bersama seseorang yang diarah mendedahkan kandungannya kepada umum sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada saya berhubung akuan sumpah berkanun ini.

"Kandungan pen drive itu dengan jelas dan tanpa ragu-ragu mendedahkan bahawa Kevin telah diarahkan melakukan sesuatu sebelum kematiannya yang dikaitkan dengan seseorang personaliti yang berkuasa di Malaysia," katanya dalam SD itu.

Charles juga berkata dakwaan draf kertas pertuduhan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didedahkan oleh laman web Sarawak Report mempunyai singkatan tandatangan (initials) abangnya.

Katanya, ketika melihat dua halaman kertas pertuduhan di laman web itu pada 30 Julai, beliau mengenali singkatan 'AKM' iaitu ringkasan tandatangan abangnya di satu daripada kertas itu.

Lihat Komen
ADS