Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia tak perlu lanjutan paten farmaseutikal bawah TPPA
Diterbitkan:  Nov 26, 2015 5:22 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin Malaysia tidak akan memerlukan lanjutan lagi bagi paten farmaseutikal di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), untuk membolehkan pengurangan harga ubat-ubatan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi dan Pemantauan) Kementerian Datuk J Jayasiri berkata di bawah TPPA itu, perlindungan paten bagi data farmaseutikal dipersetujui pada tempoh 20 tahun, bermakna harga ubat-ubatan kekal pada paras sekarang selepas pelaksanaannya.

Di bawah tetingkap akses bagi bahagian farmaseutikal, beliau berkata Malaysia memilih lima tahun eksklusif data daripada tarikh kelulusan pemasaran pertama produk berbanding lapan tahun perlindungan pasaran.

‎"Tetingkap akses ini menyatakan, jika anda mahu menyebut perlindungan data bagi produk kimia anda, pendaftaran di Malaysia perlu dalam tempoh 18 bulan daripada tarikh kelulusan pertama di mana-mana negara lain.

"Kita bukan sahaja boleh mendapatkan pelanggan kita menikmati ubat-ubatan inovatif baharu lebih awal, tetapi juga mewujudkan laluan bagi ubat-ubatan generik untuk masuk lebih awal," kata Jayasiri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas ucap tamanya pada perbincangan meja bulat mengenai, "Apakah perjanjian TPP bermakna bagi Malaysia?", di ibu negara hari ini.

Menurutnya, memandangkan kecekapan proses paten dan kelulusan pemasaran Malaysia bagi ubat-ubatan, Kementerian Kesihatan tidak dijangka memerlukan lanjutan daripada paten lima tahun untuk memberikan kelulusan pemasaran bagi ubat-ubatan generik.

"Proses untuk memberikan kelulusan pemasaran bagi ubat-ubatan generik ketika ini ialah 245 hari bekerja, tanpa mengambil kira sebarang kelewatan yang tidak perlu.

"Apabila terma paten (bagi farmaseutikal) tidak dilanjutkan selepas tamat tempoh, ubat-ubatan generik, yang jauh lebih murah berbanding ubat-ubatan biologik, boleh memasuki pasaran dan harga akan turun.

"Bagaimanapun, jika paten dilanjutkan, sekiranya Malaysia lambat memberikan kelulusan pemasaran, pesakit akan terus membayar harga ubat-ubatan yang sama seperti sekarang," katanya.

Biologik adalah persediaan daripada sumber biologi, termasuk vaksin, anti-toksin, protein dan antibodi monoklonal, menelan kos purata 22 kali lebih tinggi daripada ubat-ubatan bukan biologik.

Sementara itu, versi generik, yang merupakan ubatan biosimilar, lebih murah kerana pengeluar boleh hanya menggunakan data daripada percubaan klinikal yang diserahkan oleh pengeluar biologik asal.

-Bernama

Lihat Komen
ADS