Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zunar lelong karyanya di majlis amal bantu Orang Asli
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 9:19 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang disambut pada setiap 10 Disember, Jawatankuasa Majlis Peguam bagi Hak Orang Asli (COAR) akan menjadi tuan rumah majlis makan malam amal untuk mengumpul dana bagi membantu masyarakat tersebut.

Bertemakan "#getAsli", acara dua tahun sekali itu akan diadakan di Sunway Resort Hotel & Spa pada pukul 6.30 petang hari Selasa, 8 Disember, di Persiaran Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.

Pihak penganjur berharap tema itu akan membantu memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menyedari akan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.

Banyak kumpulan Orang Asli yang hidup tanpa keperluan asas dan hak-hak yang sering diambil mudah oleh rakyat Malaysia yang lain.

Hasil kutipan di majlis tersebut akan digunakan bagi membiayai aktiviti jawatankuasa itu untuk membantu pembangunan masyarakat berkenaan, pendidikan tidak formal untuk wanita dan kanak-kanak, serta latihan kepimpinan.

Di samping itu, COAR mahu membantu masyarakat Orang Asli dalam mengukuhkan mata pencarian dan budaya tradisional mereka.

Acara itu akan menampilkan persembahan Orang Asli untuk memperkenalkan budaya dan warisan mereka kepada orang ramai, serta persembahan video mengenai masyarakat pribumi Malaysia.

Satu acara lelongan akan turut diadakan untuk sekurang-kurangnya tiga karya seni dari artis-artis tempatan.

Zunar telah bersetuju untuk melelong salah satu daripada karyanya.

Kartunis terkenal itu, atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, akan turut menunjukkan kemahirannya melukis di majlis makan malam amal itu.

Jawatankuasa itu juga menjual lencana #getAsli pada harga RM3 tiap satu, dan baju-T (leher bulat) pada harga RM20 manakala baju-T (leher V) RM25, sebagai sebahagian daripada misi mengumpul dana untuk masyarakat membantu Orang Asli.

Tiket-tiket untuk majlis makan malam amal itu berharga RM250 tiap satu atau RM2,500 untuk sebuah meja. Allianz Insurance menjadi penderma utama bagi acara tersebut.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Steven Thiru, dijadualkan menyampaikan ucapan ringkas di majlis itu.

Mereka yang berminat untuk menghadiri acara ini boleh menghubungi ahli jawatankuasa berkenaan, Najwa Hamid (03-2050 2102 atau [email protected]) atau Mohd Faizal Mahat (03-2050 2088 atau [email protected]).

Orang ramai yang ingin menderma kepada Jawatankuasa Hak Orang Asli boleh menggunakan saluran yang ditetapkan melalui Akaun Bank Hong Leong (00200756927) atau menulis cek atas nama 'Malaysian Bar COAR Account.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS