Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih RM240 juta hasil lelong bot nelayan asing
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 3:00 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengumpul lebih RM240 juta hasil lelongan bot nelayan asing yang dirampas kerana menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara sejak 2005.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata dalam tempoh 10 tahun, Vietnam mencatatkan rampasan tertinggi iaitu melebihi 400 buah bot.

"Ini diikuti Indonesia dan Thailand, masing-masing lebih 200 bot dan 150 bot manakala selebihnya dari China, Filipina, Singapura dan Brunei," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ahmad Puzi berkata bot-bot lelong hanya boleh dibida oleh mereka yang mempunyai lesen membida, namun APMM sedar ada antara mereka yang menjadi 'Ali Baba' bagi pihak tertentu termasuk nelayan asing kerana didapati menjual balik bot yang berjaya dibida.

"Nelayan asing yang ditahan atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara boleh didakwa di mahkamah dan tekong boleh didenda maksimum RM1 juta manakala awak-awak RM100,000 seorang," katanya.

Beliau berkata Malaysia tidak mengamalkan dasar meletupkan bot nelayan asing yang dirampas, bot-bot yang dirampas turut dijadikan tukun untuk meningkatkan hasil tangkapan serta menggalakkan aktiviti memancing.

Beliau berkata tukun daripada hampir 1,000 bot yang dirampas itu diletakkan di taman-taman laut di pantai timur dan pantai barat Malaysia.

"Lebih 800 bot dijadikan tukun di perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang. Ini tidak termasuk bot rampasan yang dijadikan tukun di perairan Sabah dan Sarawak," katanya.

Ahmad Puzi berkata kebanyakan nelayan asing sanggup mengambil risiko menangkap ikan di perairan negara secara haram kerana hasil tangkapan yang agak lumayan berikutan sumber ikan di kawasan itu masih terpelihara hasil daripadapengurusan laut yang baik.

"Tangkapan di perairan negara mereka mungkin rendah akibat kepupusan sumber ikan. Saya berharap nelayan tempatan yang menikmati pelbagai bantuan kerajaan seperti subsidi minyak dan kelengkapan lebih rajin turun ke laut," katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada nelayan-nelayan tempatan yang memberi kerjasama baik kepada APMM seperti menyalurkan maklumat berguna bagi membanteras pencerobohan perairan negara oleh pihak asing.

"Berdasarkan kerjasama dan maklumat yang disalurkan kepada APMM, saya dapati kesedaran nelayan kita meningkat. Ini juga petanda baik serta mengurangkan penangkapan nelayan kita oleh pihak berkuasa negara asing," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS