Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kebebasan bersuara bukan hak hancurkan parti
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 3:22 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak membidas golongan yang mendakwa keputusan parti yang mahu ketua Wanita, Pemuda dan Puteri dan bukannya timbalan presiden merasmikan perhimpunan agung mereka sendiri kali ini sebagai memecah tradisi.

Sebaliknya, kata beliau, banyak tradisi parti tidak dipatuhi sejak setahun ini dan mengingatkan bahawa kebebasan bersuaran yang diberikan bukan hak untuk menghancurkan parti .

Menulis di blog, katanya, pada mesyuarat MT Umno, Selasa lalu ,terdapat beberapa bahagian yang Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dihukum kerana lantang membidas parti.

“Tidak dinafikan, ada juga pemimpin yang berkata Umno mengamalkan kebebasan bersuara dan pemimpin dan ahli mesti dibenar meluahkan pendapat mereka.

“Bagaimanapun, terdapat perbezaan antara kebebasan bersuara dan kebebasan untuk menghancurkan dan ada bahagian yang berpendapat garisan itu telah dicabuli,” katanya.

Menurut Salleh, di antara negara-negara paling liberal di Eropah, had atau sekatan juga dikenakan ke atas kebebasan bersuara.

“(Sebagai contoh) anda tidak dibenarkan menafikan ‘holocaust’ atau mempamerkan simbol Nazi di Perancis atau Jerman kerana ini melanggar sempadan kebebasan.

“Dan di Britain, jika anda tidak bersetuju dengan parti, anda dijangkakan meletak jawatan. Ini lazimnya dilakukan oleh mereka atas semangat mempertahankan pendirian,” katanya.

Namun, katanya, Umno memutuskan tidak bertindak ke atas Muhyiddin dan Shafie.

Sebaliknya, beliau berkata Majlis Tertinggi hanya memutuskan ketua Wanita, Pemuda dan Puteri merasmikan perhimpunan agung mereka sendiri kali ini seperti yang dicadangkan mereka.

Tradisi parti

Justeru, katanya, jika ingin bercakap mengenai mengekalkan tradisi parti, seseorang harus melihatnya secara keseluruhan dan bukan apa yang mereka fikirkan sesuai sahaja.

“Satu tradisi parti yang tidak diikuti adalah menuduh presiden parti mencuri RM42 bilion sedangkan ini tidak benar.

“Cuba menumbangkan presiden melalui pelbagai dakwaan yang direka sehingga menjejaskan parti dan membiarkan Umno menghadapi risiko kemungkin dikalahkan pada pilihan raya umum sudah tentu tidak selaras dengan tradisi parti,” katanya dalam tulisan di blog.

Mesyuarat MT Umno, Selasa lalu memutuskan tidak seperti kelazimannya bagi setiap perhimpunan agung Umno, Muhyiddin selaku timbalan presiden Umno kali ini tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan bagi ketiga-tiga sayap parti itu yang dijadualkan bulan depan.

Salleh juga berkata amalan bagi timbalan presiden merasmikan sayap-sayap parti hanya tradisi.

“Ia sekadar keistimewaan yang diberikan kepada timbalan. Ini bukan satu hak.

“Manakala hak tidak boleh diambil daripada sesiapa, keistimewaan mesti melalui usaha. Dan keistimewaan mungkin hilang jika di salah-guna. Itu caranya,” katanya mengakhiri tulisannya.

Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan berlangsung bermula 8 hingga 12 Disember.

Lihat Komen
ADS