Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan Perak: Hargai jasa tokoh-tokoh terdahulu
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 3:24 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Kata-kata kenegaraan pemimpin silam serta prinsip bina negara yang diasaskan pemimpin terdahulu hendaklah senantiasa dijadikan rujukan, panduan dan pedoman, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah bangsa yang berjaya membina tamadun agung adalah bangsa yang memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh silam dan yang telah merintis perjuangan serta mengasaskan gagasan negara bangsa.

"Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan contoh teladan. Berpandukan kisah yang terkandung dalam peristiwa Israk dan Mikraj, baginda menunjukkan sifat menghormati rasul terdahulu; menghargai pandangan mereka ketika baginda menerima perintah menunaikan solat daripada Allah.

"Atas sifat menghargai pandangan para rasul terdahulu, baginda telah berulang-alik memohon ihsan Allah SWT untuk mengurangkan perintah solat daripada lima puluh waktu kepada lima waktu sehari semalam," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah demikian di istiadat penganugerahan darjah kebesaran kepada 702 penerima bersempena Hari Keputeraan ke-59 baginda di Balairong Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar yang didahului Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sultan Nazrin Shah bertitah sifat menghargai jasa tokoh-tokoh terdahulu hendaklah dijadikan budaya kepada warga bangsa.

"Dalam semangat mahu menghargai jasa bakti tokoh-tokoh terdahulu, Beta telah menetapkan, sempena istiadat sulung sambutan rasmi ulang tahun hari keputeraan ini, untuk mengurniakan anugerah secara anumerta kepada beberapa orang tokoh terdahulu dan kepada individu-individu yang telah mengorbankan nyawa mereka ketika melaksanakan tugas negara bangsa," titah baginda.

Baginda bertitah Malaysia mempunyai sejarah kemerdekaan yang masih baru dan terlalu singkat yang tidak sepatutnya begitu cepat dilupakan.

Titah baginda negara terhutang budi kepada peranan perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dan barisan yang seangkatan dengan Almarhum, antaranya Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan.

Sultan Nazrin Shah bertitah kerajaan hendaklah didukung oleh barisan pentadbir serta teknokrat yang turut berpegang kepada budaya kejujuran serta ketegasan untuk menyuarakan yang hak selaras dengan nasihat Tun Abdul Razak dalam ucapan yang bertemakan 'Road to nationhood' seperti berikut: "Sebagai penjawat awam, saya berharap anda akan berpendirian teguh terhadap kami ahli politik, dan tidak membenarkan diri dikuasai oleh kami. Sebab dalam demokrasi sebenar, penjawat awam mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Masa depan cara hidup demokrasi negara kita bergantung kepada anda."

Pada tahun ini, Sultan Perak berkenan memberi anugerah secara Anumerta kepada enam penerima. Anugerah itu diberi kepada seseorang yang telah meninggal dunia.

Mereka ialah Datuk Sir Onn Jaafar dan Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz, yang menerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM); Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Aminuddin Baki (Darjah Seri Paduka Mahkota Perak - SPMP); Tan Sri Koo Chong Kong (Darjah Seri Panglima Taming Sari - SPTS) dan Kevin Anthony Morais (Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak - DPMP).

Onn adalah pengerusi pertama Umno; Abdul Wahab merupakan pengasas Perikatan Melayu Perak serta bekas Menteri Besar Perak; Burhanuddin ialah pemimpin Kesatuan Melayu Muda; Aminuddin ialah pengasas Persatuan Pelajar Melayu Insaf di Ipoh; Khoo adalah bekas Ketua Polis Perak manakala Kevin Morais merupakan timbalan pendakwa raya Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

-Bernama

Lihat Komen
ADS