Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua jabatan fasiliti KLIA hadapi dakwaan salinan sijil, transkrip palsu
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 3:45 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Seorang ketua jabatan fasiliti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menipu Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) berhubung salinan sijil dan transkrip palsu, tahun lepas.

Faizal Noh, 40, didakwa menipu pihak LJM dengan mengemukakan salinan Sijil Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dan transkrip keputusan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor yang mana tertuduh tahu bahawa salinan sijil dan transkrip tersebut adalah palsu.

Bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 17, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Sultan Salahuddin di ibunegara pada 3 April 2014 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff menawarkan Faizal diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin namun, peguam A. Krishnaveni yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh menanggung isteri dan anak-anaknya.

Majistret Saifulakmal Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama

Lihat Komen
ADS