Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Anwar disediakan rawatan perubatan profesional'
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 6:51 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Kementerian Dalam Negeri hari ini mengulangi bahawa bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibekalkan bantuan perubatan profesional oleh Jabatan Penjara, sejajar dengan Akta Penjara 1995.

Ketua setiauashanya Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan berkata setiap aspek pengurusan seseorang banduan adalah berasaskan ketetapan akta berkenaan dan juga Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

“Ditegaskan semua pengesyoran, pertimbangan dan keputusan yang dibuat berhubung layanan dan rawatan kepada Anwar adalah mematuhi batasan yang ditetapkan Akta dan Peraturan Penjara serta dilaksanakan secara profesional.

“Penempatan di sel klinik penjara, kemudahan-kemudahan yang diberi, termasuklah makanan tambahan adalah sepertimana syor yang dibuat oleh pegawai perubatan di atas kepentingan kesihatan Anwar.

“Banduan-banduan lain yang disyorkan pindaan diet atau diet tambahan oleh pegawai perubatan akan diberikan makanan berkenaan sepertimana syor tersebut.”

Mengenai isu kecederaan bahu kanan Anwar, Alwi berkata sehingga kini, Jabatan Penjara masih belum menerima sebarang keputusan daripada mana-mana pihak berkaitan bentuk rawatan atau pembedahan atau pakar yang dipilih untuk melaksanakannya.

Beliau berkata Jabatan Penjara juga tidak pernah mengabaikan keperluan pemeriksaan dan rawatan kesihatan untuk Anwar berdasarkan keputusan dan pengesyoran yang dibuat oleh panel perubatan.

Ini, katanya termasuk beberapa kali membawa ketua umum PKR itu ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan lanjut, pemeriksaan oleh pakar ortopedik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya sepertimana yang dipohon.

Menurut Alwi, semua syor yang dibuat oleh pegawai perubatan adalah selaras dengan Akta dan Peraturan Penjara dan ia telah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara.

“Seksyen 37 (1) Akta Penjara 1995 secara jelas menetapkan bahawa rawatan kesihatan untuk seseorang banduan adalah di Hospital Kerajaan.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab Jabatan Penjara untuk membawa seseorang banduan ke hospital kerajaan bagi tujuan rawatan lanjut.

“Seterusnya berasaskan Peraturan 234, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, pegawai perubatan kerajaan yang memeriksa seseorang banduan boleh membuat pengesyoran lanjut untuk kepentingan kesihatan banduan terlibat,” katanya.

Alwi berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan media bahawa Anwar tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.

Peguamnya Sivarasa Rasiah mengadu kenyataan Kementerian Kesihatan bahawa Anwar tidak memerlukan "fisioterapi intensif" bagi kecederaan bahunya adalah ‘bohong, mengejutkan dan tidak bertanggungjawab’.

Lihat Komen
ADS