Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja Muda Kedah mangkat
Diterbitkan:  Nov 29, 2015 11:00 AM
Dikemaskini: 10:56 AM

Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, mangkat pada 1 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar akibat kegeringan.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengumumkan jenazah Almarhum akan disembahyangkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit pada 1 tengah hari ini.

"Bendera negeri, persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari mulai hari ini. Tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari mulai hari ini. Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit untuk orang ramai memberi penghormatan terakhir mulai pukul 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang.

Mukhriz berkata penghormatan untuk orang kenamaan pula akan bermula pada pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang, sebelum jenazah dimakamkan di Makam Diraja Langgar pada pukul 4.45 petang.

Kemangkatan Tunku Abdul Malik menyusul lebih dua bulan selepas kemangkatan isteri baginda Raja Puan Muda Kedah, Tunku Hajah Raudzah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 21 Sept lepas.

Mukhriz berkata jenazah Almarhum akan dibawa melalui Lebuhraya Darulaman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum ke Makam Diraja Langgar.

Bagi pihak kerajaan negeri, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Kedah diatas kemangkatan baginda.

"Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah S.W.T semoga roh Almarhum ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solihin," katanya.

Beliau meminta ketua-ketua jabatan agar memberi pelepasan kepada penjawat awam untuk menziarah jenazah Almarhum.

-Bernama

Lihat Komen
ADS