Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini mengingatkan semua pihak khususnya media massa supaya tidak cuba melaga-lagakan beliau dengan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Selaku orang kanan parti itu, Azmin memberi jaminan bahawa beliau akan terus mematuhi keputusan parti khususnya berkaitan penubuhan Pakatan Harapan dan pada masa yang sama meneruskan kerjasama politik bersama PAS.

Bagaimanapun, menteri besar Selangor berkata sesetengah media seringkali melaporkan sebaliknya dengan mendakwa beliau lebih berpihak kepada PAS.

"Jangan lagakan saya dengan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan di Kongres Nasional Tahunan parti itu yang ke-11 petang ini.

"Tetapi kalau lihat laporan media, presiden ke sana dan saya nak ke sini. Jangan lagakan saya dengan presiden. Sebagai timbalan, saya patuh kepadanya dan patuh kepada keputusan parti.

"Jangan lagakan. Jangan jadi TV3 dan Utusan Malaysia," katanya kepada perwakilan dan ahli yang hadir di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam hari ini.

Azmin turut meminta media agar dapat membantu untuk membuka mata rakyat bahawa parti itu adalah pilihan yang terbaik untuk memimpin negara ini.

Beliau meminta pengamal media agar melaporkan fakta berhubung perjalanan kongres yang berlangsung selam tiga hari ini bermula Jumaat lalu.

"Media... Laporlah yang betul. Berilah fakta. Saya tidak salahkan wartawan, mereka semua baik tetapi ada wahyu di atas sana.

"Kalau media lapor yang tepat dan fakta yang baik, setiap jam lapan malam, rakyat akan melihat inilah parti yang layak menjadi pemimpin negara.

"Jadi media bantulah bawa perubahan jangan mendukung perasuah dan perompak," katanya.

Lihat Komen
ADS