Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Tiada sebab panggil peguam beri keterangan polis’
Diterbitkan:  Nov 30, 2015 12:38 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Ahli Majlis Peguam Syahredzan Johan mengingatkan pihak berkuasa bahawa peguam tidak perlu dikaitkan dengan anak guam mahupun tindakan mereka.

Beliau membuat ulasan itu selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, peguam Americk Sidhu akan dipanggil tidak lama lagi untuk memberi keterangan berhubung kenyataan yang dibuat oleh anak guamnya, Suresh Charles Morais.

"Ini langsung tidak boleh diterima. Americk menjalankan tugasnya sebagai seorang peguam bela dan peguam cara kepada pelanggannya," katanya dalam laman Facebook malam semalam.

"Tidak ada sebab untuk beliau memberi keterangan kepada polis," kata Syahredzan.

Menurutnya berkata pihak berkuasa mesti belajar menerima prinsip suci bahawa peguam tidak perlu dikaitkan dengan anak guam dan tindakan mereka hanya kerana mewakili mereka.

Prinsip berkenaan, kata peguam itu, telah termaktub dalam prinsip asas Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai peranan peguam yang menyatakan, antara lain, bahawa kerajaan perlu memastikan bahawa peguam dapat melaksanakan fungsi profesional mereka tanpa ugutan, halangan, gangguan atau campur tangan yang tidak wajar.

Pengumuman oleh Khalid, semalam bukan kali pertama seorang peguam diheret dengan kes anak guamanya.

Peguam Matthias Chang, yang mewakili bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pula ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).

Beliau ditangkap pada Oktober lalu apabila pergi ke Dang Wangi Ibu Pejabat Polis Daerah untuk melawat anak guamnya yang turut ditahan mengikut Sosma.

Kedua-duanya dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa mensabotaj ekonomi Malaysia.

Khalid semalam berkata Americk akan dipanggil untuk memberi keterangan sama ada hari ini atau esok.

"Kita akan memanggil dia (Americk) esok atau lusa bagi merakamkan percakapannya. Mereka (peguam Charles) mesti bertanggungjawab terhadap apa jua yang perkara yang dibuat," kata Khalid yang dipetik oleh Bernama.

Charles meninggalkan Malaysia melalui Tambak Johor selepas mengadakan sidang akhbar pada Rabu lalu.

Beliau membuat suatu akuan bersumpah (SD) mendakwa konspirasi pada peringkat tinggi dalam pembunuhan abangnya, bekas Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS