Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: AMANAH baru cambah, PAS dah 64 tahun
Diterbitkan:  Nov 30, 2015 1:31 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyifatkan Parti Amanah Negara (AMANAH)sebagai "pokok yang baru disemai dan belum matang sepenuhnya" untuk memberi cabaran yang besar selain Umno, pada pilihan raya umum ke-14.

"Dia (AMANAH) ini baru nak bercambah dan masih di peringkat benih, kita akan tengoklah sejauh mana kekuatannya.

"PAS sudah 64 tahun, panas, hujan, banjir semua kita dah harungi.

"AMANAH ini baru bercambah, dia bubuh baja banyak, bubuh air banyak-banyak, nampaklah segar tapi hanya dalam satu polybag sahaja," kata Ahmad seperti lapor Sinar Harian hari ini.

Beliau menjawab soalan sama ada AMANAH mampu memberi cabaran besar kepada PAS selain musuh tradisi mereka Umno pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata parti itu sedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Nik Aziz.

Mohamad atau yang mesra dipanggil Mat Sabu berkata sokongan rakyat Kelantan kepada parti yang ditubuhkan akhir Ogos lalu cukup hebat. Parti mensasarkan keahlian sebanyak 100,000 orang menjelang akhir Disember ini.

Beliau dilapor memetik kajian Ilham Centre yang mengatakan 15 peratus ahli PAS di Kelantan sudah menyertai AMANAH.

Dilaporkan juga berdasarkan kajian AMANAH, kedudukan di Kelantan sekarang sudah jadi 30:30:30:10 iaitu di antara Amanah, PAS, Umno, atas pagar atau lain-lain.

Lihat Komen
ADS