Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Najib, MT tentukan ucapan penggulungan timbalan presiden’
Diterbitkan:  Nov 30, 2015 3:40 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyerahkan kepada presiden dan anggota Majlis Tertinggi parti itu untuk menentukan sama ada Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan membuat ucapan penggulungan pada perhimpunan agung kali ini.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak terdapat dalam perlembagaan parti bahawa timbalan presiden perlu membuat ucapan penggulungan seperti kelaziman sebelum ini.

"Seorang (presiden) sahaja pun sudah memadai... tapi terserahlah pada presiden dan MT... saya hanya setiausaha agung sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Secara tradisinya, sebelum presiden Umno menggulung perbahasan pada hari terakhir perhimpunan agung, barisan ketua-ketua sayap, naib presiden dan timbalan presiden akan dibenarkan berucap pada sesi penggulungan itu.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata tidak salah jika tradisi dalam Umno yang tidak terdapat dalam perlembagaan diubah, seperti juga perubahan pada mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri yang akan dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing pada perhimpunan kali ini.

"Macam sayap juga, mereka minta jika ucapan dasar ketua masing-masing boleh dijadikan ucapan perasmian mesyuarat, jadi tidak perlu lagi timbalan presiden rasmikan seperti sebelum ini," katanya.

Selasa lalu, mesyuarat MT Umno memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat sayap parti akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing dan tidak lagi oleh timbalan presiden.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.

Lihat Komen
ADS