Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita Mongolia bebas tuduhan edar dadah
Diterbitkan:  Nov 30, 2015 6:21 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Seorang wanita warga Mongolia menangis kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua tuduhan mengedar 27.5kg heroin dan 3kg monoacetylmorphines di kondominium yang disewa teman lelakinya, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Bayanjargal Khaliun, 33, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesahihan kes pendakwaan.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Wanita itu yang merupakan penuntut kolej swasta, didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 19,665.3 gram dan monoacetylmorphines seberat 1,166.9 gram di No: 15-04, Spring Villa Condominium, No: 11, Jalan SS 12/1, Subang Jaya dekat Shah Alam kira-kira 1.30 pagi pada 26 Januari 2013.

Bayanjargal juga didakwa mengedar heroin seberat 7,823.6 gram dan monoacetylmorphines seberat 1,872.3 gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Abdul Halim berkata antara asas yang menjadi dasar terhadap keputusannya ialah kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan bukti langsung bagi menunjukkan tertuduh mengedar dadah tersebut dan kegagalan pembuktian akses secara eksklusif oleh tertuduh di premis berkenaan.

"Selain itu, terdapat percanggahan begitu material sesama saksi pendakwaan terutama antara pegawai penyiasat dengan pegawai serbuan, pegawai forensik dan jurufoto forensik yang menunjukkan ada kelemahan pada aspek siasatan oleh pegawai penyiasat.

"Pihak pendakwaan juga gagal buktikan tertuduh ada akses eksklusif ke atas unit kondominium itu apabila pemilik kondominium itu mengesahkan bahawa premis berkenaan disewa oleh seorang lelaki Nigeria bernama Vincent (teman lelaki tertuduh). Vincent ialah saksi penting tetapi tiada usaha serius dibuat untuk mengesannya yang dikatakan telah keluar dari Malaysia," katanya.

Menurut Abdul Halim, keterangan ahli kimia turut mengesahkan terdapat kehadiran DNA individu lain iaitu lelaki dan perempuan pada eksibit seperti berus gigi serta tuala dan tiada cap jari yang boleh mengaitkan tertuduh dengan dadah yang ditemui di premis berkenaan.

Sehubungan itu, selepas meneliti segala keterangan dan eksibit yang dikemukakan kepada mahkamah, Abdul Halim mendapati kes keraguan munasabah tidak berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan terhadap Bayanjargal dan justeru beliau melepas dan membebaskan wanita itu daripada kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala Bayanjargal diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud.

- Bernama

Lihat Komen
ADS