Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu 1MDB: Arul akan beri penjelasan pada mahasiswa
Diterbitkan:  Dec 1, 2015 8:00 AM
Dikemaskini: 12:03 AM

Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) adalah antara isu yang akan dibincangkan pada Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS)3.0 yang akan berlangsung selama empat hari mulai Khamis ini.

Pengerusi Biro Pendidikan Umno Malaysia, Senator Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy akan turut serta dalam memberikan penjelasan mengenai isu itu kepada 300 mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang akan menghadiri persidangan berkenaan.

"Empat topik utama akan dibincangkan pada persidangan itu iaitu pendidikan, ekonomi, politik dan agama, selain beberapa taklimat bersama 1MDB dan sesi bersama menteri kabinet," katanya dalam sidang akhbar mengenai persidangan itu semalam.

Ibrahim berkata selain isu semasa, bicara tokoh muda bersama Ketua Pemuda Umnno, Khairy Jamaluddin serta taklimat agropreneur muda oleh Reezal Zahidi akan turut diadakan.

Persidangan kali ini yang bertemakan ‘Mahasiswa Arkitek Masa Hadapan’, akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan akan ditutup oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Ahad ini.

Sempena persidangan itu, konsert Sarjana Pesona Bintang yang akan disertai 20 institusi pengajian tinggi dari seluruh negara akan turut diadakan pada Jumaat ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, katanya.

Ibrahim berkata konsert itu yang bertujuan menonjolkan bakat mahasiswa, bukan saja dalam bidang profesional malah dalam bidang seni persembahan, akan turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

- Bernama

Lihat Komen
ADS