Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Isu hak dan perlindungan pengguna semakin mencabar. Setiap kali persoalan kenaikan harga dan amalan pencatutan ditimbulkan, pihak KPDNKK tersepit antara kepentingan peniaga dan industri dengan kepentingan pengguna.

Sejak KPDNKK diwujudkan, pihak kerajaan cuba mengimbangkan antara kepentingan ekonomi dan kepenggunaan pengguna.

Akan tetapi situasi yang berlaku umpama meletakkan serigala dan kambing dalam satu kandang. Mustahil jika serigala tidak mengancam kambing dan kambing dapat menjaga diri dari dibaham dalam kandang.

Melihat kepada beberapa reaksi KPDNKK kepada isu kos sara hidup yang meningkat, kerajaan nampaknya sukar untuk mengimbangkan antara menjaga hak pengguna dan dalam masa yang sama mahu menggalakkan perniagaan.

Kenyataan untuk menjaga kepentingan pengguna dalam konteks menjaga kepentingan ekonomi nampaknya tidak dapat diterjemahkan dalam pasaran bebas dalam negara ini.

KPNDKK sering terpaksa menggubal undang-undang dan peraturan untuk mengawal salahlaku peniaga dan industri. Akan tetapi menguatkuasakan undang-undang sering pula dihantui dengan tekanan untuk kerajaan lebih probisnes.

Akibatnya pengguna sering kali berada dalam keadaan yang lemah dan kepentingannya terpaksa dikesampingkan.

Dengan beberapa isu berkait dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, suara pengguna sering diketengahkan, namun akhirnya peniaga dan industri yang mendapat kelebihan.

Hal ini kerana peniaga dan industri lebih berupaya untuk melobi pihak berkuasa untuk menjustifikasi kenaikan harga, berbanding suara pengguna.

Akibatnya, rakyat mendapat gambaran bahawa kerajaan secara tidak langsung mengamalkan polisi "untuk bisnes, oleh bisnes dan demi bisnes". Slogan ini bertentangan dengan doktrin demokrasi "untuk rakyat, oleh rakyat dan demi rakyat".

Sebagai contoh, kerajaan perlu menjaga kepentingan industri rokok dan kepentingan melindungi kesihatan pengguna. Industri rokok adalah sebuah perdagangan yang besar dan jelas menjejaskan kesihatan rakyat.

Apabila kerajaan tidak melindungi pengguna dari manipulasi syarikat rokok, kepentingan pengguna terpaksa dikesampingkan.

Mustahil untuk kerajaan mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak – syarikat rokok dan pengguna – apabila kedua-duanya berada dalam bidang kuasa satu kementerian iaitu KPDNKK.

Pemerintah sering mengabaikan suara pengguna tetapi mengutamakan keuntungan cukai rokok sebagai sumber pendapatan negara. Kerajaan sepatutnya melindungi rakyat dari kerosakan kesihatan, pembaziran, gejala sosial dan kesan kepada alam sekitar akibat tembakau.

Akhirnya KPDNKK tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya melindungi kepentingan pengguna.

Adalah lebih baik KPDNKK dirombak dengan memisahkan sektor perdagangan dalam negeri dan kementerian hal ehwal kepenggunaan.

Hanya dengan cara ini kerajaan dapat mengelakkan kepentingan yang bercanggah antara perdagangan dengan kepenggunaan apabila menguatkuasakan undang-undang.


ZAIM SIDQI ZULKIFLY aktivis pengguna Perak.

Lihat Komen
ADS