Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NOW jelajah lima negeri jelas isu Yapeim
Diterbitkan:  Dec 1, 2015 12:17 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) akan menjelajah ke lima buah negeri sepanjang bulan ini bagi menjelaskan mengenai isu yang melibatkan perbelanjaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) seperti yang didedahkan sebelum ini.

Pengarah NOW Akmal Nasir berkata pihaknya akan mengadakan forum di lima negeri itu - Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Johor dan Pahang - selepas menerima maklum balas khususnya pencarum yang kecewa dengan Yapeim selepas teguran dibuat.

Beliau juga berkata pihaknya juga akan mendedahkan beberapa fakta baru yang didakwanya sebagai "pembaziran" yayasan itu di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur jam 8.30 malam esok dan mengalu-alu media untuk membuat liputan.

"Saya percaya sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan peranan Yapeim kembali kepada tujuan asalnya yang berteraskan kepada amal jariah," kata Akmal dalam satu kenyataan.

"Setiap pencarum yang dianggarkan sebelum ini seramai 588,930 orang berhak mengetahui hak-hak mereka dan peranan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan nasib yang susah dan memerlukan dapat dibantu melalui Yapeim," katanya lagi.

Selain beliau, Akmal berkata majlis penerangan malam esok menampilkan Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh, pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin dan aktivis hak asasi manusia dan bekas pemimpin mahasiswa Syukri Razab.

Forum di Alor Setar dan Padang Serai diadakan pada 4 Disember manakala di Jerai dan Merbok berlangsung sehari selepas itu (5 Disember).

Sementara di Perak (9 Disember), Muar dan Segamat (12 Disember) dan Pahang (13 Disember). Bagaimanapun lokasi dan masa yang lebih spesifik tidak dimaklumkan.

Sebelum ini, NGO itu membuat pelbagai siri pendedahan berhubung dakwaan salah guna dana yayasan itu termasuk pembayaran elaun yang tinggi kepada pegawai pengurusan atasan sehingga menjadi tajuk utama berita.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut memfailkan tindakan undang-undang terhadapnya Akmal demi membersihkan namanya dan sebagai usaha menghentikan budaya memfitnah yang dilakukan sewenang-wenangnya.

Lihat Komen
ADS