Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk beliau hadir pada majlis pembukaan perhimpunan agung tahunan parti itu sebagai satu jemputan.

Justeru, pemimpin veteran Umno itu berkata beliau tidak memerlukan sebarang surat jemputan untuk ke perhimpuan yang dijadual berlangsung 8 Disember ini.

"Saya tak terima lagi (surat jemputan) tapi saya anggap kenyataan Zahid itu sebagai satu jemputan dan tak perlu nak hantar surat pun saya akan pergi," kata Mahathir kepada pemberita di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata Umno menjemput Mahathir menghadiri majlis pembukaan perhimpunan agung tahunannya walaupun bekas perdana menteri itu mendakwa parti cuba menutup mulutnya.

Zahid dalam satu wawancara bersama The Star dilaporkan sebagai berkata beliau berharap Mahathir akan menghadiri majlis itu kerana ahli parti masih menghormati beliau sebagai bekas presiden.

Isnin lalu, bekas perdana menteri itu menulis dalam blognya terdapat usaha menutup mulut dan menghalang beliau daripada bertemu ahli-ahli Umno dan orang ramai.

Dr Mahathir berkata, tiada tempat untuknya berucap kerana kebanyakan pemilik bimbang dihukum kerajaan.

Beliau juga disoal siasat polis pada 6 November, dipercayai berhubung kritikannya terhadap Najib semasa perhimpunan BERSIH 4 pada Ogos.

Selasa lalu, MT memutuskan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan merasmikan perhimpunan ketiga-tiga sayap parti, satu langkah yang mendorong timbalan presiden Umno itu mengisytiharkan beliau tidak akan berdiam diri.

Lihat Komen
ADS