Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPAD didesak minta SKMM sekat 'Uber', 'Grabcar'

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bahawa aplikasi 'Uber' dan 'Grabcar' didakwa disalahgunakan, kata Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang.

Penyelianya Kamarudin Mohd Hussain mendakwa SPAD tidak membuat sebarang laporan bagi membolehkan aplikasi tersebut disekat oleh suruhanjaya komunikasi itu.

"Sebenarnya SKMM tidak boleh mengharamkan aplikasi itu sehingga SPAD memaklumkan kepada SKMM bahawa aplikasi itu disalahgunakan.

"Banyak pihak-pihak luar ambil kesempatan di atas kebodohan SPAD ni," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Semalam Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata SKMM tidak boleh menyekat aplikasi perkhidmatan teksi dalam talian kerana ia tidak melanggar undang-undang perkhidmatan komunikasi sedia ada.

Beliau berkata pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pemandu teksi perkhidmatan itu kerana ia bukan di bawah tanggungjawab kementerian tersebut dan sehingga kini SPAD belum meminta SKMM untuk menyekat mana-mana perkhidmatan teksi dalam talian.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata SPAD tidak memahami gesaan kerajaan yang menggesa supaya badan tersebut agar menjaga kebajikan pemandu teksi di negara ini.

"SPAD tidak faham maksud kerajaan yang suruh SPAD merangka langkah-langkah tertentu demi menjamin kebajikan pemandu teksi.

"Kerajaan sudah beritahu SPAD, (supaya) jaga kebajikan mereka tapi SPAD tidak tahu kerja, dia kata luar bidang kuasa kami," katanya.

Sehubungan itu, Kamaruddin menyeru supaya SPAD tampil menyatakan statistik penangkapan yang dibuat terhadap pemandu Uber dan Grabcar.

Katanya, ia bagi membuktikan bahawa kedua-dua aplikasi itu sememangnya disalahgunakan.

"SPAD sudah buat tangkapan banyak jadi SPAD kena kemukakan statistik penangkapan bahawa aplikasi itu memang telah disalahgunakan.

"Memang lah SPAD tidak boleh sekat atau haramkan tapi aplikasi itu di bawah SKMM tapi SPAD kena tampil," katanya.

Sebelum ini, kira-kira 500 pemandu teksi berkumpul di Padang Merbok membantah terhadap SPAD serta menggesa kerajaan mengharamkan aplikasi 'Uber' dan 'Grabcar' yang didakwa menjejaskan periuk nasi pemandu teksi.

Mereka juga menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Lihat Komen
ADS