Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis Keselamatan Negara bakal dapat 15 kuasa khas

PARLIMEN l Kerajaan hari ini membentangkan rang undang-undang untuk memberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kuasa yang meluas untuk menangani isu-isu keselamatan negara.

Ini termasuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan jika pihak berkuasa yakin bahawa terdapat kemungkinan ancaman keselamatan terhadap rakyat, wilayah, infrastruktur utama dan ekonomi negara.

Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 juga akan memberi kuasa khas kepada pasukan keselamatan yang dikerahkan ke kawasan keselamatan.

Ia juga akan menjadikan MSN kuasa pusat kerajaan untuk mempertimbangkan perkara-perkara berkaitan keselamatan negara.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Bacaan kedua dan ketiga akan dilakukan pada sidang sesi kali ini yang berakhir pada Khamis, 3 Disember.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini, memperuntukkan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan bagi mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Rang undang-undang yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, untuk bacaan kali pertama itu antara lain menyebut Pengarah Operasi dilantik bertanggungjawab bagi operasi di dalam sesuatu kawasan keselamatan.

Pasukan keselamatan pula terdiri daripada Polis Diraja Malaysia; Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia dan Polis Bantuan; Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Rang undang-undang itu memperuntukkan bidang kuasa khas merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa untuk mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa untuk memeriksa dan menyita; kuasa untuk menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa untuk memeriksa orang bagi benda berbahaya dan kuasa untuk menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut.

Antara kuasa khas Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan lain ialah mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih; permintaan bagi sumber; pampasan, kuasa untuk memerintahkan pemusnahan bangunan tertentu yang tidak dihuni; penggunaan kekerasan yang munasabah dan perlu; kuasa untuk mengetepikan inkues dan penyerahan orang yang ditangkap dan benda yang disita kepada polis.

Dalam kuasa khas perintah berkurung, Pengarah Operasi boleh memerintahkan semua orang di dalam kawasan keselamatan atau mana-mana bahagian kawasan keselamatan untuk berada di dalam tempat kediaman atau bangunan antara waktu yang ditentukan dalam perintah yang dikeluarkan oleh pengarah operasi.

Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah itu dengan melakukan suatu kesalahan dan boleh disabitkan, didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Rang undang-undang itu juga memperuntukkan anggota pasukan keselamatan boleh, tanpa waran menangkap mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis di kawasan keselamatan.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan keanggotaan MKN terdiri daripada perdana menteri sebagai pengerusi, timbalan perdana menteri sebagai timbalan pengerusi diikuti tiga menteri yang dipertanggungjawab bagi pertahanan, hal ehwal dalam negeri serta komunikasi dan multimedia selain dianggotai Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.

Perdana menteri juga atas syor Ketua Setiausaha Negara akan melantik seorang dalam kalangan pegawai awam untuk menjadi Ketua Pengarah Keselamatan Negara serta Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan apa-apa bilangan pegawai dan perkhidmatan lain dalam kalangan pegawai awam.

Ia juga mencadangkan memberi perdana menteri kuasa untuk mengisytiharkan kawasan tertentu di negara ini sebagai kawasan keselamatan.

Turut diperuntukkan dalam rang undang-undang berkenaan ialah sebarang arahan, perintah atau keputusan yang dibuat MKN yang sedia ada terus berkuatkuasa selaras dengan akta ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, turut membentangkan Rang Undang-undang Profesion Undang-undang (Pindaan) 2015 untuk bacaan kali pertama.

Lihat Komen
ADS