Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

"Mak mudim nak sunatkan saya?" adalah pertanyaan lazim didengar Pegawai Waran 1 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Masliza Mohd Yusop apabila berhadapan dengan kanak-kanak yang akan dikhatankannya.

Masliza, 43, menganggap persepsi masyarakat bahawa "tok mudim" adalah seorang lelaki menyebabkan beliau "dihujani" soalan itu, termasuk daripada ibu bapa, terutamanya apabila melihat beliau berpakaian celoreng seragam tentera.

Beliau yang merupakan jururawat terlatih di Hospital Tuanku Mizan, Kuala Lumpur mula melakukan proses berkhatan sejak tahun 2005 dan sehingga kini lebih 1,000 kanak-kanak pelbagai usia telah "masuk jawi" di tangannya.

"Kanak-kanak paling 'dewasa' saya sunatkan berusia 13 tahun. Awalnya dia agak keberatan kerana fizikal sudah berbeza. Setelah dipujuk dan diterang proses berkhatan, baharulah dia relakan dirinya disunat," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Masliza turut mengambil bahagian pada Majlis Khatan Perdana anjuran Biro Agama UMNO Bahagian Pekan pada Ahad lalu, yang mencatatkan rekod baharu Malaysia Book of Records dengan penglibatan 1,201 kanak-kanak.

Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Muhammad Rafiq Jasni, 18, dan Nur Nadia, 17, berkata beliau tidak pernah luntur semangat untuk melakukan proses berkhatan, walaupun faktor jantina menyebabkan ada yang mempertikaikan kebolehannya.

"Saya rasa tidak salah kerana yang saya sunatkan adalah kanak-kanak. Saya melihat pekerjaan ini dari sudut perubatan. Sebagai seorang ibu, saya juga memahami perasaan kanak-kanak," katanya yang tidak kisah digelar "mak mudim".

Masliza menambah suaminya Mejar Jasni Omar, 47, yang merupakan jururadiografi di hospital sama memberi keizinan kepadanya untuk melakukan tugas itu.

Masliza berkata antara kenangan yang tidak boleh dilupakan ialah perlu mengejar seorang kanak-kanak di sekeliling masjid yang takut untuk bersunat selepas melihat rakannya dalam satu majlis berkhatan di Lumut, Perak.

"Selepas ditangkap, ibu bapa kanak-kanak itu perlu memegang kaki dan tangannya sementara saya menjalankan prosedur sunat. Sambil 'memotong' saya memujuk dan bercakap dengan kanak-kanak itu supaya proses itu tidak dirasakannya terlalu lama," katanya.

Masliza menambah beliau tidak pernah menyangka akan terlibat dalam bidang perubatan, apatah lagi menjalankan proses berkhatan sehingga beliau menyertai ATM selepas tamat STPM pada tahun 1994 dan ditugaskan sebagai juruteknik didewan bedah.

"Bekerja di dewan bedah menimbulkan minat dalam bidang perubatan menyebabkan saya menyambung pelajaran di Kolej Kejururawatan Sungai Petani pada tahun 2002 dan layak bergelar jururawat terlatih tiga tahun kemudian.

"Dengan kelayakan ini, saya dibenarkan menjadi 'mak mudim'. Kali pertama mengkhatankan orang, perasaan cemas itu memang sangat kuat... sampai sekarang masih teringat. Bagaimanapun rasa yakin bertambah dengan pengalaman," katanya.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu menambah selain jantina, pakaian seragam ATM antara penyebab ramai tidak mempercayai beliau seorang jururawat terlatih kerana beranggapan tentera hanya terlibat dalam peperangan atau pertahanan.

Persepsi itu juga membelenggu dirinya sehingga beliau memasuki tentera yang membolehkan beliau melihat dunia ketenteraan dari perspektif lebih luas, termasuk melayakkan beliau untuk menyertai beberapa persidangan perubatan di Pakistan, Hawai dan Jerman.

-Bernama

Lihat Komen
ADS