Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantulah dapatkan gaji kami, rayu pengawal keselamatan

Sekumpulan pengawal keselamatan dari 10 buah sekolah sekitar Hulu Langat menggesa Kementerian Sumber Manusia membantu menuntut gaji mereka dari sebuah syarikat yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan.

Pemimpin PSM S Arutchelvan berkata tuntutan itu dibuat selepas mesyuarat bersama seorang wakil Kementerian Sumber Manusia, Peter Dennis, bahawa ia satu kes di mana kontraktor yang dilantik kerajaan didakwa enggan membayar gaji penuh pengawal keselamatan terbabit.

"Kes ini berkaitan kontraktor enggan bayaran gaji pekerja. Bukan sahaja gaji minimum mereka tetapi juga caruman KWSP dan Perkeso.

"Sepatutnya tidak ada alasan mengapa gaji pengawal keselamatan melalui kontraktor yang datang daripada bajet Kementerian Pendidikan," kata Arutchelvan kepada pemberita selepas mengiringi pengawal keselamatan untuk menghadiri mesyuarat itu.

Menurut Arutchelvan Kementerian Sumber Manusia sedar akan masalah tersebut, bagaimanapun beliau dimaklumkan bahawa hanya Kementerian Pelajaran sahaja mempunyai kuasa untuk menangguh membut pembayaran kepada kontraktor itu.

"Kami berpendapat bahawa Kementerian Sumber Manusia tidak boleh lepas tangan dalam menyelesaikan masalah ini.

"Isu utama ialah bagaimana boleh seorang kontraktor yang dilantik kerajaan dibenarkan untuk melepaskan diri dengan tidak memenuhi tanggungjawab mereka kepada pekerja-pekerja?" katanya.

Beliau berkata terdapat juga beberapa kes yang belum selesai di Mahkamah Buruh kerana kontraktor terbabit yang didakwa enggan menghadiri mana-mana prosiding.

'Tak hormati'

"Mereka (pengawal) bekerja dengan kontraktor Kementerian Pendidikan.

"Para pekerja telah melalui saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi kontraktor Kementerian Pendidikan yang dilantik seolah-olah tidak menghormati Kementerian Sumber Manusia," kata Arutchelvan.

Tuntutan kumpulan juga telah direkodkan dalam memorandum yang dikemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya sewaktu bermesyuarat hari ini.

Antara tuntutan itu adalah menyelesaikan gaji minimum yang didakwa masih belum dilaksanakan majikan meskipun kerajaan telah menguatkuasakannya pada Januari 2013.

Gaji minimum telah ditetapkan pada RM900 namun menurut pengawal keselamatan terbabit, mereka sebelum ini menerima bayaran gaji asas sekitar RM500.

Dalam memorandum mereka itu turut menyatakan bahawa pekerja yang terlibat telah membuat aduan kepada Jabatan Pendidikan Daerah Hulu Langat pada Ogos lalu.

Arutchelvan berkata beliau diberitahu oleh pengawal keselamatan bahawa Kementerian Pendidikan, melalui Jabatan Pendidikan Daerah Hulu Langat, berkata semua gaji yang tertunggak telahpun dibayar kepada kontraktor.

Laporan polis

Pada Oktober mereka turut membuat laporan polis terhadap kontraktor berhubung isu yang sama.

Jurucakap sekumpulan pengawal itu, Mohd Zin Yunus berkata para pekerja bimbang kontraktor akan menghilangkan diri dari membayar gaji tertangguh mereka apabila kontrak dengan Kementerian Pendidikan berakhir Januari depan.

"Saya ingin memastikan bahawa seluruh gaji kami dibayar kepada kami," katanya, sambil menambah bahawa mereka akan terus menjalankan tugas mereka menjaga sekolah, walaupun dizalimi syarikat itu

Menurut Mohd Zin lagi, yang mula bekerja dengan syarikat itu pada September tahun lalu, juga mendakwa syarikat itu gagal membuat bayaran kerja lebih masa dan membuat caruman KWSP dan Socso mereka.

Syarikat itu telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan pada Januari 2013 dan kumpulan yang terdiri daripada 33 pengawal keselamatan yang masih bekerja sehingga hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi kontraktor dan tidak menyebut namanya sehingga maklumbalas rasmi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS