Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM rakam kenyataan Jho Low, Suboh Ahad lalu
Diterbitkan:  Dec 2, 2015 6:43 AM
Dikemaskini: Dec 2, 2015 2:36 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakamkan kenyataan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin di luar negara, pada Ahad lepas mengenai syarikat itu dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata kenyataan itu dirakamkan oleh pegawai SPRM, sambil menambah bahawa beliau belum membaca kenyataan yang dibuat oleh Jho Low dan Suboh.

Beliau, bagaimanapun tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai kenyataan tersebut.

Mengenai hasrat SPRM untuk merakamkan kenyataan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu itu, Mohd Shukri berkata SPRM masih menunggu Najib untuk memberi respons terhadap perkara itu.

"Saya berharap perdana menteri akan memberi respons secepat mungkin tetapi semuanya terserah kepada beliau memandangkan beliau agak sibuk pada masa ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam gala Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di ibunegara malam tadi.

Majlis itu dirasmikan oleh Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Pada 12 November lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.

Beliau berkata SPRM menunggu tarikh untuk menemubual Najib mengenai isu yang berkaitan dengan siasatan itu.

Najib pada hari yang sama, berkata beliau akan memberi kenyataan kepada SPRM selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahunya bahawa beliau perlu memberi kenyataan kepada SPRM berhubung isu berkaitan dana politik supaya siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

- Bernama

Lihat Komen
ADS