Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nasib 9 ketua cawangan Umno Telok Kemang diketahui dua minggu lagi

Sembilan ketua cawangan Umno Telok Kemang yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti petang tadi hanya akan mengetahui nasib mereka dua minggu lagi.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh jurucakap Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia, Kamarul Azman Habibur Rahman selepas kesemua mereka mengadap lembaga disiplin parti itu selama empat jam.

"(Keputusan tindakan ke atas kami) difahamkan dalam tempoh dua minggu.

"Tak sebut sebarang hukuman, kalau ada pun kedua-dua pihak iaitu lembaga disiplin dan pihak kami sepakat untuk kebaikan bersama," kata Kamarul kepada pemberita.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata beliau berpuas hati dengan pertemuan itu

"Lembaga disiplin telah menyoal dan kami dilayan dengan baik. Mereka juga jalankan tugas dengan profesionalisme yang sangat tinggi," kata Kamarul.

Sembilan ketua cawangan Umno itu sebelum ini tiba di Menara Datuk Onn, PWTC bagi mengadap lembaga disiplin parti itu pada sekitar jam 2.30 petang.

Mereka itu adalah antara 13 pemimpin cawangan Telok Kemang Umno yang menggesa peletakan jawatan Najib pada bulan Oktober lalu.

Kehadiran mereka turut disertai Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tanda sokongan beliau, namun anggota Parlimen Pagoh itu meninggalkan bangunan selepas memberikan kata semangat kepada penyokongnya itu.

Dalam pertemuan petang tadi Muhyiddin hadir seorang diri dan disambut oleh kira-kira 50 penyokong kem anti-Najib, termasuk bekas Ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman yang dipecat minggu lalu dan ahli Umno Langkawi, Anina Saadudin.

Lihat Komen
ADS