Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sesi khas Parlimen mengenai TPPA akhir Januari 2016
Diterbitkan:  Dec 22, 2015 6:00 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Persidangan khas Parlimen untuk memutuskan tentang penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dijadualkan pada akhir Januari 2016, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata sesi melibatkan persidangan Dewan Rakyat selama dua hari, diikuti persidangan Dewan Negara selama sehari.

"Tarikh sudah ada tetapi itu tugas Dewan Rakyat (untuk mengumumkannya)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kongres Usahawan Muda 2015, di ibunegara hari ini.

Mustapa berkata pada masa ini kerajaan giat menjalankan program kesedaran tentang TPPA untuk orang awam.

"Adalah penting untuk kita bawa TPP ke peringkat akar umbi. Itu keutamaan saya pada bulan Januari supaya TPP lebih difahami pada peringkat orang kampung, kepimpinan peringkat bawah," katanya.

Beliau berkata kementeriannya kini giat memberi penjelasan kepada komuniti akademik dan golongan profesional berhubung perjanjian perdagangan itu.

Rundingan TPPA yang dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Dokumen akhir TPPA serta dua hasil kajian analisis kos faedah oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa serta PricewaterhouseCoopers Malaysia didedahkan kepada umum awal bulan ini.

Kongres Usahawan Muda 2015 selama sehari itu melibatkan tiga sesi perbincangan terbuka yang mengulas tiga topik iaitu TPPA, Industri Halal and Pembiayaan.

Kongres dijadual ditutup oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS