Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Doktor, beritahu Imran ibu sudah mati'
Diterbitkan:  Dec 26, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Warga emas 71 tahun itu sudah pergi selama-lamanya.

Sebelum dia pergi, dia tinggalkan sepucuk surat hiba yang menyentuh perasaan banyak pihak.

Malah, wasiat tulisan tangan di kertas dari buku sekolah itu kini dikongsi meluas di Internet.

“Doktor, saya minta kafankan jenazah saya di hospital, sebab saya tidak ada keluarga. Ada seorang anak OKU (orang kurang upaya), Imran namanya.

“Lepas kafan muka saya jangan tutup, tunjuk kepada anak saya dan beritahu kepadanya ibu Imran sudah mati,” tulis ibu kepada seorang anak kurang upaya itu.

Dalam pesanan itu, allahyarham turut meminta pihak hospital menelefon dan memberitahu beberapa orang berhubung kematiannya, termasuk seorang guru.

Ramai pengguna Internet melahirkan rasa sedih dan simpati mereka susulan kejadian itu.

Faisal Afiq Aku jenis susah nak nangis. Teapi bila baca surat yang ditulis oleh arwah, aku rasa sedih sangat. Terkenang mak aku di kampung. Mak, Fiq minta maaf kalau Fiq ada buat silap.

Mamu Ismail Sangat syahdu dan menghiris kalbu. Dia punya anak kurang upaya. Bagaimana kita nanti, yang mungkin punya ramai anak berbanding arwah?

Siti Salwani Abdullah Semoga ibu ini berada di taman-taman syurga.

Nota dalam beg tangan

Berita Harian melaporkan identiti wanita itu sebagai Bibi Meherniga Abdul Hamid, yang beralamat di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Kangar Satu, di Perlis.

Media itu difahamkan Bibi meninggal dunia di rumahnya pada Selasa lalu namun kematiannya disedari oleh anak lelakinya, Imran Jhinkur, 53, dan orang kampung, dua hari kemudian.

Berita Harian juga melaporkan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan itu Muhamad Zulkefli Mokhtar, 52, sebagai berkata berkata nota itu ditemui dalam beg tangan arwah.

Ia, kata Zulkefli ditemui semasa petugas Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mencari dokumen pengenalan diri si mati.

Katanya lagi, jenazah Bibi kemudiannya dibawa ke Unit Forensik HTF untuk pemeriksaan lanjut sebelum nota wasiatnya ditemui.

Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka, kelmarin.

Lihat Komen
ADS