Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan SPRM ke atas SRC, RM2.6b Najib siap minggu depan
Diterbitkan:  Dec 27, 2015 6:42 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan hasil siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International dan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada minggu depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Operasi Khas, SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin juga memberi jaminan bahawa kedua-dua siasatan itu akan dilakukan secara bebas, telus, dan profesional.

“Saya selaku Pengarah Bahagian Operasi Khas, ingin memaklumkan yang pasukan siasatan kes ini telah diberi panduan dan amanat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed bahawa pasukan siasatan mesti merekodkan syor berkenaan hasil siasatan dengan bebas iaitu sama ada terdapat kes ataupun sebaliknya.

“Jika terdapat kes, menjadi tanggungjawab kami untuk mencadangkan pertuduhan dalam laporan Kertas Siasatan yang akan dikemukakan kepada Peguam Negara pada minggu depan. Begitu juga sebaliknya.

“Pengurusan Tertinggi SPRM berpendirian perkara ini penting bagi memastikan semua pihak akan mengetahui yang SPRM telah mengambil segala tindakan secara profesional dan bebas,” katanya.

Bahri berkata demikian ketika mengulas laporan beberapa portal dan akhbar yang memetik karya Datuk A Kadir Jasin yang mempertikaikan siasatan SPRM itu mungkin satu muslihat.

Isu RM2.6 bilion pertama kali timbul pada Julai lalu apabila The Wall Street Journal melaporkan bahawa wang berkenaan disalurkan ke akaun bank peribadi Najib ketika pilihan raya umum ke-13.

Turut disalurkan dalam akaun Najib mengikut laporan itu adalah dana RM42 juta yang didakwa dari SRC International. Najib sebelum ini, menafikan sebarang salah laku.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS